Tiga bot nelayan dikemudi warga Vietnam ditahan, 5.5 tan hasil laut dirampas
Nur Fazlizai Ali
Julai 14, 2021 08:54 MYT
Julai 14, 2021 08:54 MYT
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berjaya merampas bot dipercayai dikemudi warga asing bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan bernilai RM3 juta.
Ia susulan penahanan tiga buah bot nelayan tempatan kelas C2 bersama 24 nelayan asing termasuk tekong warga Vietnam sekitar jarak 40 batu nautika dari Kuala Terengganu pada Isnin.
Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata penahanan itu dibuat menerusi aduan awam yang mengesyaki berlaku aktiviti penangkapan ikan membabitkan bot nelayan asing.
Katanya, susulan aduan itu, kapal maritim Nusa bergerak ke lokasi kejadian dan mendapati tiga bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua nelayan yang berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun itu mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Selain itu, bot berkenaan juga dipercayai telah melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan mata pukat yang kurang daripada 38 milimeter (mm).
Muhammad Suffi berkata pihaknya turut merampas 3,500 liter diesel dan 5.5 tan ikan sebelum kesemua bot bersama nelayan dan barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen yang dikeluarkan Jabatan Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963.
Jelasnya lagi, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, terutamanya nelayan asing, yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.
#APMM
#nelayan asing
#warga asing
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#Akta Imigresen
#bot
#Vietnam
#tekong