Tiga bot nelayan asing diusir berhampiran Pulau Perak - TLDM

Fareez Azman
November 10, 2020 13:33 MYT
Salah sebuah bot nelayan dari negara jiran memasuki perairan negara sebelum diusir oleh KD Laksamana Tan Pusmah TLDM pada Isnin. - ATM
KUALA LUMPUR: Tiga bot nelayan Indonesia berjaya diusir Kapal Tentera Laut Diraja (KD) Laksamana Tan Pusmah selepas memasuki perairan negara di 26 batu nautika selatan berhampiran Pulau Perak.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM, Lumut pada Selasa.
"KD Laksamana Tan Pusmah yang sedang melaksanakan operasi OP Benteng Laut dan juga OP Pejarak telah menerima maklumat dari Maritime Component Commander (MCC) pada jam 12.45 tengah hari semalam (Isnin), yang memaklumkan beberapa bot nelayan asing telah dikesan di posisi 26 batu nautika selatan Pulau Perak.
"KD Laksamana Tan Pusmah telah diarahkan menghampiri lokasi tersebut untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati sebanyak tiga bot nelayan Indonesia sedang bertambat di boya berdekatan di dalam perairan negara Malaysia.
"Lantas KD Laksamana Tan Pusmah melakukan pengusiran dengan mengiringi bot-bot nelayan tersebut sehingga keluar dari perairan negara pada jam 4 petang semalam (Isnin)," jelas kenyataan itu.
TLDM jelasnya sentiasa memperkasakan OP Benteng dan komited dalam menjalankan tugas mengawal perairan negara dan mempertahankan kedaulatan negara dari dicerobohi pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pencerobohan bot nelayan asing.
#TLDM #nelayan asing #bot nelayan #negara jiran #Op Benteng Laut #ATM #perairan negara #pati #tentera #operasi #Pulau Perak
;