Tiga bersaudara rentung, kereta dinaiki rempuh lori sampah

Aida Aziz
November 13, 2023 05:15 MYT
Keadaan lori sampah yang terlibat dalam kemalangan maut di Kawasan Perindustrian Bercham, Ipoh, malam tadi. - Foto JBPM Perak
IPOH: [KEMAS KINI] Tiga individu rentung setelah kenderaan yang dinaiki dipercayai merempuh bahagian hadapan lori sampah lalu terbakar di Kawasan Perindustrian Bercham, di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 8.05 malam.
Seterusnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, dibantu BBP Tambun dan Pasukan Bomba Sukarela Bercham, bergegas ke lokasi.
Menurutnya, kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki ketiga-tiga mangsa itu terbakar 95 peratus.
"Setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati tiga mangsa rentung, anggaran kemusnahan kereta adalah 95 peratus, manakala lori sampah turut terbakar di bahagian kepala lori sebanyak 50 peratus.
"Ketua operasi memaklumkan, bantuan kren digunakan bagi mengalihkan lori sampah. Setelah itu, didapati tiga mangsa yang rentung berada di dalam kereta tersebut," katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hose reel dari air tangki jentera.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mahmud Azaddin Mohd Najamuddin itu tamat pada jam 11.35 malam.
Terkini, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan mengesahkan dalam kenyataan pagi ini, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan.
"Pemandu kereta seorang lelaki berusia 20 tahun, bersama dua penumpang lelaki yang merupakan adik dan sepupunya, masing-masing berumur 16 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.
"Manakala pemandu lori sampah dan empat orang kelindan tidak mengalami kecederaan," katanya.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Bercham, pada kira-kira jam 8.28 malam tadi.
Katanya, ketika kejadian, Proton Perdana yang datang dari arah Tanjung Rambutan melalui lokasi yang merupakan jalan selekoh.
"Kereta hilang kawalan lalu bertembung dengan lori sampah yang datang dari arah bertentangan."
Akibat daripada pelanggaran itu, kata Yahaya, kereta tersebut tersepit di bawah lori sampah lalu terbakar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Waris kesemua mangsa sudah dikenal pasti dan proses bedah siasat akan dijalankan hari ini, tambahnya.
#kemalangan maut #rentung #lori sampah #kereta terbakar
;