Tiga beranak warga emas teruskan sisa hidup seadanya

Nazialita Geynna Maharan
Oktober 30, 2017 16:26 MYT
Wak Kam (kiri) meneruskan hayatnya di sebuah rumah di bawah penjagaan Takyah (kanan) yang turut menjaga suaminya yang uzur. - Astro AWANI
Sebut sahaja Wak Kam, pasti ramai yang mengenalinya apatah lagi di Kampung Biak, Pasir Salak di Kampung Gajah, di sini.
Dia yang merupakan bidan kampung cukup dikenali kerana lebih separuh usianya diabdikan untuk membantu wanita menyambut kelahiran setiap bayi mereka.
Wanita yang pernah berjasa kepada masyarakat setempat itu bagaimanapun kini terlantar uzur.
Lebih dikenali dengan nama Onyang Kam dalam kalangan orang kampung, wanita yang sudah menginjak usia 95 tahun ini masih mampu tersenyum di sebalik keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
"Sebut sahaja Wak Kam, siapa yang tak kenal dia,'' ungkap anak perempuannya Takyah Shah, 67.
Menurut Takyah, ibunya seorang wanita hebat kerana selain menyambut kelahiran, dia juga bertanggungjawab memandikan jenazah.
“Saya sendiri kagum dengan kebolehan mak. Dia sambut kelahiran, dia juga boleh mandikan jenazah. Semua orang cari mak sebab khidmat dia diperlukan hampir setiap masa.
“Tapi itu dulu, sekarang dia terlantar sebab uzur.. sentiasa terbaring atas tilam sejak tiga tahun lalu," katanya.
Takyah berkata, sebagai anak yang bertanggungjawab dia cuba memberikan yang terbaik buat emaknya menjalani sisa-sisa hidup namun hasratnya itu terhalang akibat kesempitan hidup.
“Sedih bila tengok mak macam ini. Dulu pantang ada kenduri mesti mak kena panggil jadi tetamu jemputan... Tetapi tak apalah, dia sudah tua, giliran saya jaga dia.
“Ayah saya meninggal sewaktu saya masih kecil dan kami adik-beradik, emak besarkan seorang diri tanpa bantuan sesiapapun dan itulah yang menguatkan semangat saya untuk menjaganya sebaik mungkin,” katanya sebak.
Takyah berkata, mereka tidak terlalu mengharapkan bantuan saudara-mara kerana memahami masing-masing mempunyai komitmen sendiri.
Wak Kam juga mempunyai lebih 40 cucu dan cicit.
"Mereka ada datang menziarah dan ada yang gilir-gilir jaga mak. Semua ini sudah cukup buat mak gembira. Tak susah pun jaga emak, cuma angkat dia ke bilik air, mandikan dan betulkan kedudukannya untuk solat setiap hari...berbual dengan dia, itu sahaja.
"Doktor pun kata dia tiada penyakit apa-apa. Cuma uzur," katanya.
Takyah dan ibunya kini menetap di rumah sewa Kampung Sengat dekat Simpang Pulai supaya lebih dekat dengan saudara mara berbanding Kampung Gajah.
Selain dua beranak, turut mendiami rumah itu adalah suami Takyah, Mohd Yusop Trabah berusia 75 tahun dan agak uzur.
"Saya tidak mengharapkan apa-apa, cuma lampin pakai buang dewasa untuk emak pakai. Makan minum kami biarpun ala kadar, kami tetap bersyukur sebab tidak pernah kebulur.
"Kami juga ada menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM300 setiap bulan. Adalah baki RM100 setelah bayar sewa rumah ini," katanya lagi.
Bantuan JKM
Takyah berkata, sebelum ini beliau ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun dihentikan sementara berikutan berpindah dari daerah JKM Hilir Perak ke kawasan Kinta.
Sementara itu, Wak Kam kelihatan ceria dan mampu memahami setiap pertanyaan yang diajukan.
Walaupun tutur katanya agak tersekat namun bahasanya lembut, malah begitu merendah diri dan masih mempunyai daya ingatan yang baik.
"Gelang emas ini (pergelangan tangan) orang beri sebab dia tak ada duit bayar mak cik sambut anak dia. Cincin emas ini pun orang beri, dulu mak cik urut orang sakit tetapi sekarang tak larat," katanya dalam nada perlahan.
Kehidupan tiga beranak warga emas ini merupakan sebahagian realiti hidup yang wujud di kampung-kampung pada hari ini.
Kecekalan mereka meneruskan kehidupan seharian dalam serba kekurangan dan bersandarkan kepada kekuatan kasih sayang wajar dijadikan teladan.
Sinar harapan
Kisah tiga warga emas ini telah menyentuh ramai pihak dan baru-baru ini, pihak Pemuda UMNO Gopeng bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat telah datang melawat keluarga ini.
Malah, kisah meruntun hati tiga warga emas yang amat berdikari ini turut menjadi inspirasi kepada mereka yang datang melawat di samping memberi bantuan seperti lampin pakai buang dewasa dan kotak makanan keperluan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mohamad Adli Taharuddin berkata lawatan pihaknya mendapati ketiga-tiga warga emas ini hanya dijaga oleh salah seorang anak dan tiga beranak yang lain tanpa sumber pendapatan yang tetap.
Mengakui bahawa dirinya kagum dengan kecekalan mereka, Adli berkata pihaknya akan segera merujuk perkara ini kepada bantuan kilat penambahbaikan rumah yang didiami tujuh beranak itu.
“Keadaan mereka saya kira, sebagai keluarga daif kerana satu-satunya sumber rezeki mereka adalah opah Takyah sendiri, umur pun nak dekat 70 tahun.
“Saya mendapati kos pembaikan pulih rumah ini tidak dapat ditanggung oleh tuan rumah tetapi tidak apa, kami akan berbincang dan membantu memberikan rumah selesa dan selamat untuk mereka.
“Selain itu, kami juga akan mendekati keluarga ini untuk mengetahui jumlah pendapatan mereka dalam masa sebulan dan cuba mendapatkan peluang pekerjaan terbaik setelah segalanya diteliti,”katanya.
Jelasnya, pihaknya amat berterima kasih kepada Astro AWANI kerana memaklumkan keperluan kebajikan itu kepada pengetahuan mereka bagi penyampaian bantuan.
“Saya hormat dan kagum. Mereka tidak menagih simpati ke sana sini, tidak merayu malah makan secara ala kadar, dalam usia begini mereka begitu tabah menghadapi sisa hidup bersama-sama, saya harap ini menjadi iktibar kepada semua selepas ini,”katanya lagi.
Sementara itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Kinta yang turut hadir telah menjelaskan perkara sebenar mengenai saluran bantuan bulanan kepada pesakit warga emas terlantar.
Justeru, pegawai JKM Kinta telahpun menyerahkan borang pendaftaran kepada keluarga daif ini dan bakal memulakan prosedur dengan segera setelah penelitian dilaksanakan.
Buat mereka yang berminat untuk menghulurkan bantuan baik dari segi kewangan dan barangan keperluan, boleh menghubungi cucu mereka di talian 017-460 6549 atau memberi sumbangan di akaun milik Takyah Binti Shah, 08002-41-00007099-1 (Bank Simpanan Nasional).
#Astro Awani #bantuan #bidan #kebajikan #Masyarakat #onyang kam #rakyat Malaysia #uzur #wak kam #warga emas #warga tua
;