Tiga beranak tokan dadah dituduh di mahkamah
Adie Sufian Zulkefli
Jun 28, 2020 16:57 MYT
Jun 28, 2020 16:57 MYT
Tiga beranak serta seorang lagi wanita lain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 780.18 gram pada 19 Jun lalu.
Ketiga-tiga beranak itu Puan Saad, 67, bersama dua anak lelakinya. Amran Azizan, 45 dan Azrulnizam Azizan, 40, serta tunang Azrulnizam, Noor Syamimi Md Noor, 34, yang tidak diwakili peguam berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan.
Majistret Nurshahida Abdul Rahim menetapkan 13 September depan untuk sebutan semula kes manakala semua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.
Proses pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hamizah Mat Shah.
Pada 19 Jun lalu kira-kira jam 6 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Setar telah membuat serbuan dan menahan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua lelaki dan dua wanita di Bahu Jalan Batu 2 Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar.
Hasil pemeriksaan, polis menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat kasar 780.18 gram.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.