Tiga beranak rentung dalam kebakaran rumah kedai di Kota Kuala Muda
Adie Sufian Zulkefli
September 18, 2023 12:59 MYT
September 18, 2023 12:59 MYT
SUNGAI PETANI: Tiga beranak ditemui rentung dalam kebakaran selepas membabitkan lapan unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda, awal pagi Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 1.12 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Sungai Petani dan Kuala Muda, Pulau Pinang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Katanya, setiba di lokasi api sedang marak dan pihaknya dimaklumkan terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam rumah.
Menurut Awang Hidzel, mayat pertama ditemui hadapan pintu jam 3.19 pagi sementara mayat kedua ditemui di bahagian tengah jam 6 pagi.
Manakala mayat ketiga ditemui enam meter daripada mayat kedua di bahagian bawah tangga pada jam 10.15 pagi.
Katanya, bomba mengalami kesukaran untuk pemadaman dan mencari mangsa yang rentung.
“Bangunan ini bangunan lama. Di bawah adalah batu simen tetapi tingkat atas kayu papan, tangga kayu jadi apabila terbakar kayu-kayu di tingkat satu dia jatuh ke bawah bila jatuh ke bawah.
“Dia punya debu itu sampai ke satu meter jadi nak menggali tu kena hati-hati dan perlu bantuan jentolak, perlu perkakas. Kadang-kadang benda ini berat dan tajam, kita kena berhati-hati. Kita kena pastikan mayat tu tidak terjejas, itu keutamaan kepada pegawai-pegawai penyelamat kita,” katanya.
Awang Hedzel berkata ketiga-tiga mangsa dikenalpasti, pasangan suami isteri Lim Yang Kooi, 66, Lee Chew Fong, 61, dan ibu mereka Yong Swee Lan, 93.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
Kebakaran itu memusnahkan 85 peratus kelapan-lapan rumah itu.
Katanya, api berjaya dipadam sepenuhnya jam 12 tengah hari dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.