Tiga beranak melecur dalam kebakaran empat rumah sederet

Abd Razak Mohd Ali
April 27, 2022 08:20 MYT
Kesemua mangsa yang melecur dari rumah yang terbakar 80 peratus. - Foto JBPM
IPOH: Tiga beranak melecur dalam kebakaran yang melibatkan empat buah rumah teres di Taman Meru Fasa 2B di sini, malam tadi.
Seorang lelaki berusia 32 tahun melecur tahap tiga manakala isterinya melecur di bahagian tangan dan kaki serta anak perempuan mereka melecur di bahagian kaki.
Seorang lagi anak lelaki pasangan itu terselamat.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 11.04 malam.
“Kebakaran melibatkan empat buah rumah teres sederet, masing-masing terbakar 80, 50 dan lima peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kesemua mangsa yang melecur dari rumah yang terbakar 80 peratus.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota menggunakan dua aliran hos 100 kaki dengan empat pancutan dan bersumberkan air dari pili bomba untuk memadamkan kebakaran.
Operasi dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan dibantu anggota dari BBP Ipoh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu dan PBS Chemor.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Sharudi Muhammad Halil tamat jam 2.20 pagi.
#kebakaran #melecur #rumah teres #bomba
;