Tiga beranak maut: Norhafizah sempat hubungi kakak beritahu kemalangan

Sinar Harian
September 16, 2023 14:29 MYT
Gambar kenangan Norhidayah Salmi (hadapan, kiri) bersama ahli keluarganya ketika makan di sebuah restoran Ogos lepas. Turut kelihatan adiknya, Norhafizah Sazwa (belakang, dua kanan) bersama suaminya, Ammir Hussein (tiga dari kiri).
KEMAMAN: Luluh hati seorang kakak sulung apabila mengetahui adik dan ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan maut akibat dirempuh sebuah lori pasir di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Simpang 4, Jalan Mak Lagam-Cheneh di sini, pada Jumaat.
Lebih memilukan, Norhidayah Salmi Harun, 42, berkata, adiknya, Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang sedang hamil sempat membuat panggilan memaklumkan bahawa dia dan keluarga terlibat kemalangan.
"Semasa kejadian kira-kira jam 2 petang, Norhafizah Sazwa sendiri telefon saya dan jerit memberitahu dia dan keluarga terlibat kemalangan.
"Saya dan ahli keluarga bergegas dari Kampung Air Putih ke tempat kejadian dan sebaik tiba di lokasi, adik saya dan anak-anak dia sudah dibawa ke hospital.
"Hanya tinggal adik ipar saya (Ammir Hussein Mohamad) masih tersepit dalam kereta dan ketika itu bomba sedang buat kerja-kerja penyelamatan.
"Saya menangis dan terkejut melihat keadaan arwah adik ipar kerana hubungan kami sekeluarga sangat rapat," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Pada Jumaat, tiga beranak maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah lori pasir yang keluar dari simpang secara mengejut dipercayai akibat mengalami masalah brek.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang maut ialah Ammir Hussein Mohamad, 38, dan dua anak lelakinya, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, serta Ammzar Hussnayan Al Hussein, 1.
Menurutnya, isteri Ammir Hussein, Norhafizah Sazwa yang sedang hamil mengalami kecederaan di bahagian perut manakala anak angkat mereka, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, masih tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Kemaman.
Mengulas lanjut, Norhidayah Salmi berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan keluarga adiknya itu sebelum kejadian tersebut berlaku.
"Hubungan saya dengan keluarga adik memang rapat. Kami sekeluarga ada makan tengah hari sama-sama sebelum kejadian.
"Arwah adik ipar dalam keadaan seperti biasa ketika itu tetapi anaknya sempat beritahu pada saya 'abang (anak saudara) nak cuti sekolah panjang ni tapi nak cuti selama-lamanya'.
"Rupanya itulah kali terakhir saya jumpa mereka sebelum mereka pergi buat selamanya," ujarnya.
Dalam pada itu, Norhidayah Salmi menyifatkan Ammir Hussein yang merupakan pemilik sebuah bengkel kereta sebagai seorang yang pemurah, baik hati dan suka membantu orang lain.
"Saya terkesan dengan kebaikan arwah adik ipar apabila dia tidak meminta sebarang bayaran apabila saya hantar kereta di bengkelnya pada tiga hari lepas.
"Arwah sangat baik dan jenis tidak berkira dengan orang. Kehilangan arwah begitu dirasai kami sekeluarga," katanya.
Sementara itu, Norhidayah Salmi memberitahu keadaan adiknya, Norhafizah Sazwa dan kandungannya selamat, namun dia masih terkejut selain trauma akibat tragedi tersebut. - Sinar Harian
#kemalangan maut #tiga beranak maut #Kemaman #ibu hamil
;