Tiga beranak maut, kereta bertembung pacuan empat roda di Jalan Ipoh-Gerik

Abd Razak Mohd Ali
Jun 20, 2020 08:30 MYT
Menurut polis, pertembungan berlaku apabila 4WD yang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta. - Foto JBPM Perak
Jurutera Majlis Perbandaran Manjung, isteri dan anaknya maut dalam satu kemalangan di Kilometer 74, Jalan Ipoh-Gerik, berhampiran Kampung Kuak, Sauk, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD).
Mangsa dikenali sebagai Abdul Hakim Hashim, 32 tahun, isterinya yang merupakan seorang penolong jurutera pertanian, Nurul Huda Arifin, 31 tahun, dan anak mereka, Adib Aidan Abdul Hakim, 2 tahun.
Seorang lagi anak, Ammar Aiman, 4 tahun, dan pemandu 4WD berusia 33 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ismail berkata, Nurul Huda meninggal dunia di tempat kejadian manakala Abdul Hakim dan Adib Aidan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Gerik.
“Ketika tiba di tempat kejadian, datang 4WD dari arah bertentangan, dipercayai telah hilang kawalan, dan masuk ke laluan kereta, lalu menyebabkan pertembungan berlaku.
“Akibat pertembungan tersebut, kereta mangsa terpusing dan memasuki parit di bahu kiri jalan, mengakibatkan mangsa tersepit di dalam kereta,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, Abdul Hakim disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar kira-kira jam 12.15 pagi manakala Adib Aidan lima minit kemudian.
Razali berkata, polis menahan pemandu 4WD untuk siasatan lanjut, termasuk bagi menjalani ujian air kencing dan sampel darah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#4WD #bertembung #cedera #hilang kawalan #Jalan Ipoh- Gerik #Jalan Ipoh-Gerik #jurutera #Kampung Kuak #kemalangan #kemalangan maut #kereta #Kuala Kangsar #Majlis Perbandaran Manjung #meninggal dunia #pacuan empat roda #Sauk
;