Tiga beranak maut dalam nahas MPV dilanggar lori ais

Noraniza Kamsani
Mac 26, 2019 18:12 MYT
Akibat pertembungan, MPV itu terjunam ke dalam parit menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar. -Foto JBPM
Tiga beranak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori yang membawa ais batu di Kilometer 55 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Badong di sini, pagi tadi.
Kejadian pukul 9.45 pagi itu menyebabkan Nor Hasidah Asbullah, 32, dan dua anaknya Nur Auni Athirah Kamaruddin, 8, dan Muhammad Iffat Rizqi, 2, kesemuanya beralamat di Kampung Betong, Ajil, Terengganu, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata kejadian berlaku ketika MPV jenis Perodua Alza yang dipandu suami Nor Hasidah, Kamaruddin Mohd Zin, 33, dari arah Johor Bahru, Johor sedang dalam perjalanan ke Terengganu.
"Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, Perodua Alza berkenaan dipercayai hilang kawalan dan berpusing lalu masuk ke laluan bertentangan dalam keadaan melintang sebelum dilanggar lori.
"Akibat pertembungan itu, MPV berkenaan terjunam ke dalam parit. Ini menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata Kamaruddin dan seorang lagi anaknya Nur Syadni Syakirah, 3, mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut.
"Pemandu lori Mohd Saiful Bahari Berahim, 32, dan kelindan Mohd Fazieran Rozinor, 32, turut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan," katanya.
Amran berkata ketiga-tiga jenazah sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pekan di sini untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#ais batu #Amran Sidek #Kamaruddin Mohd Zin #Kampung Badong #kenderaan pelbagai guna #MPV #Muhammad Iffat Rizqi #Nor Hasidah #Nor Hasidah Asbullah #Nur Auni Athirah Kamaruddin #Perodua Alza
;