Tiga beranak mangsa tembak di Batu Maung disemadikan

Astro Awani
Julai 17, 2016 17:48 MYT
Lebih 100 ahli keluarga dan kenalan memberi penghormatan terakhir kepada tiga mangsa berkenaan. - Foto Astro AWANI
Mayat seorang ibu, anak dan cucu lelakinya yang mati ditembak oleh ahli keluarga sendiri di Batu Maung, Pulau Pinang Rabu lalu, selamat disemadikan di Krematorium Batu Gantung, hari ini.
Suasana pilu menyelebungi pekarangan krematorium apabila mayat Tan Saw Sim, 55, anak lelakinya Chung Wah Thong, 28, dan cucu lelaki, Chung Ai Dey atau Ayden Chung, 2, dibawa untuk dibakar, sebelum disemadikan pada jam 10 pagi.
Lebih memilukan, anak sulung Saw Sim, Chung Lee Ping, 37, tidak dapat menahan kesedihan apabila upacara bermula pada jam 10 pagi dengan proses pembakaran mayat kanak-kanak, Ayden Chung.
Ini diikuti oleh pembakaran mayat ayah Ayden, Wah Tong dan neneknya, Saw Sim.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada semua mangsa adalah bekas suami Saw Sim dan lebih 100 ahli keluarga serta kenalan mereka.
Kesemua mangsa, termasuk teman lelaki ibunya, Toh Hock Choon, 50, maut serta-merta akibat ditembak dari jarak dekat oleh anak Saw Sim sendiri, Chung Chun Wah, 32, dalam kejadian jam 3 pagi Rabu di sebuah kilang memproses ayam milik Hock Choon.
Kejadian berlaku susulan pertengkaran kerana keluarga terbabit enggan memenuhi permintaan Chun Wah untuk diberikan wang bagi membeli bekalan dadah.
Chun Wah yang melarikan diri sebaik kejadian itu akhirnya terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis polis di Air Itam, Pulau Pinang, pada Khamis petang.
#Batu Maung #disemadikan #kes jenayah #krematorium Batu Gantung #tiga beranak ditembak
;