Tiga beranak kantoi 'lalok' dadah
Sinar Harian
Ogos 14, 2018 15:21 MYT
Ogos 14, 2018 15:21 MYT
Tiga beranak antara 47 penagih dadah ditahan dalam Ops Perdana dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Kangsar ke atas beberapa lokasi sekitar daerah Kuala Kangsar yang menjadi sarang penagih pada 6 hingga 8 Ogos lalu.
Dalam serbuan bermula 12 tengah malam hingga 12 tengahari, sepasang suami isteri berusia 40-an ditahan selepas kedua-duanya didapati positif dadah jenis opiat.
Manakala, anak lelakinya berusia 20-an ditahan anggota AADK Kuala Kangsar dalam satu operasi susulan pada keesokan hari kejadian di sekitar Kuala Kangsar dalam tempoh waktu sama.
Ketua pegawainya, Naemah Baharuddin berkata, operasi dikendalikan bersama AADK Perak dengan kerjasama polis mendapati 47 daripada yang ditahan adalah termasuk dua wanita didapati positif dadah antaranya methamphetamine, morfin dan ganja.
Selain itu, sejumlah lima remaja berusia 15 hingga 18 tahun turut ditahan termasuk seorang pelajar sekolah setelah didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua penagih ditahan diminta menjalani ujian saringan air kencing di mana 36 daripadanya didapati positif pelbagai jenis dadah.
"Kesemua suspek adalah berusia lingkungan 15 hingga 60 tahun dan ketika serbuan dijalankan, pihak kami tidak menjumpai atau merampas sebarang jenis dadah," katanya kepada media di sini hari ini.
Naemah berkata, operasi dijalankan dengan kekuatan 40 anggota AADK dengan kerjasama anggota polis bagi menggembur lokasi dikenal pasti 'port dadah' di kawasan Sauk, Manong dan sekitar Pekan Kuala Kangsar.
"Operasi itu turut menyaksikan seorang anggota AADK tercedera ringan ketika mengejar suspek yang cuba melarikan diri.
"Kesemua suspek positif dadah disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penyalahgunaan Dadah,"katanya.