Tiga beranak direman, jadi suspek dera dua kanak-kanak

Astro Awani
Jun 16, 2019 14:04 MYT
Pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa mengalami kesan dera hampir di seluruh badan selain dipercayai kurang zat badan. - PDRM
Tiga beranak termasuk seorang remaja perempuan berusia 13 tahun direman lima hari, kerana disyaki melakukan penderaan ke atas dua kanak-kanak berusia 7 dan 8 tahun.
Perintah reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan oleh Majistret Nurshahira terhadap kesemua suspek.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata mangsa yang juga pasangan adik-beradik diselamatkan pihak polis selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek mempunyai hubungan persaudaraan dan sudah tujuh tahun tinggal bersama selepas kedua-dua ibu bapa mereka berpisah.
Suspek yang ditahan seorang lelaki berusia 33 tahun berkerja sebagai penghantar gas manakala isterinya berusia 30 tahun dan anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun.
Pemeriksaan lanjut di rumah suspek berjaya menemukan satu kayu cota, satu garfu perak dan sebatang paip getah keras yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.
Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa mengalami kesan dera hampir di seluruh badan selain dipercayai kurang zat badan dan kini dirawat di Hospital Serdang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak Kanak 2001.
#dera #jenayah #mangsa polis pdrm #Masyarakat #Penderaan Kanak-kanak #rakyat Malaysia #tiga beranak dera kanak-kanak
;