Tiga beranak dalang tuntutan palsu Perkeso, ditahan SPRM

Umavathi Ramayah
Julai 6, 2020 18:02 MYT
Kesemua tiga suspek itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa untuk mendapatkan perintahan tahanan reman.
Tiga beranak yang dipercayai menjadi ejen tuntutan palsu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan nilai lebih RM1 juta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Isnin.
Ketiga-tiga individu yang berusia antara 35 dan 67 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.15 petang di pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, siasatan mendapati suspek itu bertindak sebagai ejen sindiket pemalsuan laporan perubatan orang berinsuran (OB) kepada pencarum Perkeso yang membuat permohonan tuntutan hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan pencen ilat.
Katanya, tiga beranak itu dipercayai mengemukakan maklumat palsu bagi membolehkan pencarum mendapat bayaran pampasan yang lebih tinggi daripada sepatutnya.
"Sebaik sahaja 'urusan' itu selesai, pencarum perlu membayar sejumlah wang kepada ejen terbabit," katanya.
Difahamkan, kesemua kesalahan itu dilakukan antara 2015 dan 2018 dengan melibatkan nilai pampasan lebih RM1 juta.
Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
"Ketiga-tiga mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok (Selasa) untuk mendapatkan perintah reman,"ujarnya.
Kes itu katanya, disiasat dibawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009).
#hilang upaya kekal #hilang upaya sementara #orang berinsuran OB #pencarum #pencen ilat #perkeso #SPRM #tuntutan palsu
;