Tiga beranak cemas diserang gajah
Bernama
November 28, 2023 18:22 MYT
November 28, 2023 18:22 MYT
JERTIH: Berpantang maut sebelum ajal, tiga beranak berdepan detik mendebarkan apabila kereta dinaiki mereka diserang sekawan gajah liar di Kilometer 55, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli sebelum Hentian Rehat Titiwangsa, dekat sini, Ahad lepas.
Mohd Azian Mohd Noor, 48, berkata ketika kejadian pada 7.30 malam itu, beliau bersama isteri, Salina Yahya, 47, dan anak sulungnya, Muhammad Nazrin Shah, 23, dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang menuju ke rumah mereka di Kampung Gong Kepas, di sini.
"Sebelum kejadian cemas itu, kami dari arah Gerik sedang melalui satu selekoh tajam dalam keadaan hujan renyai dan berkabus.
"Apabila melepasi selekoh itu, tiba-tiba saya dapati terdapat dua ekor anak gajah sedang melintas jalan di hadapan kenderaan kami pada jarak kira-kira 10 meter. Saya juga perasan, di kiri jalan itu sudah terdapat empat ekor lagi gajah dewasa," katanya kepada Bernama di rumahnya di Taman D'Sri Bangun di sini, hari ini.
Terkejut melihat haiwan itu, beliau lantas menekan brek namun disebabkan jaraknya yang terlalu dekat berlaku perlanggaran antara Perodua Axianya dengan seekor anak gajah.
Perlanggaran itu menurutnya menyebabkan anak gajah itu rebah di atas bonet keretanya sebelum terjatuh ke atas jalan raya.
Menjangkakan sesuatu buruk yang akan berlaku, sejurus selepas itu Mohd Azian berkata empat ekor gajah dewasa tersebut mula menyerang bahagian tepi kiri dan belakang keretanya.
Beliau berkata isterinya yang duduk seorang diri di kerusi penumpang belakang menjerit ketakutan apabila kumpulan gajah itu menolak pintu kereta serta memecahkan cermin belakang.
"Kejadian itu amat menakutkan kerana gajah-gajah tersebut mengeluarkan bunyi yang kuat malah tidak mustahil dengan kekuatannya itu ia boleh terbalikkan kereta kami," katanya yang bekerja sebagai pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Kampung Raja.
Bagaimanapun, sebaik isterinya melaungkan 'Allahuakbar', Mohd Azian berkata anak gajah yang dilanggar itu perlahan-lahan bangun sebelum kereta mereka yang telah kematian enjin bergerak sendiri ke hadapan berikutan permukaan jalan yang menuruni bukit.
Tanpa melengahkan masa, beliau segera menghidupkan enjin dan bergegas meninggalkan lokasi insiden.
Mohd Azian juga memanjatkan rasa syukur kerana mereka sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di Balai Polis Jeli berhubung kejadian itu.
-- BERNAMA