Tiga beranak antara 11 suspek ditahan kerana mencuri di pasar raya

Ruzaini Zulkepli
Februari 14, 2018 18:11 MYT
CHANDRA menunjukkan antara barangan yang dicuri dalam kejayaan polis menumpaskan kumpulan sindiket curi pasar raya di Kota Kinabalu, dalam sidang media berkenaan hari ini. - Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli
Sebelas individu termasuk tiga beranak ditahan polis selepas didapati terlibat dengan kegiatan sindiket mencuri di pasar raya sehingga menyebabkan kerugian lebih RM7,000 di sekitar kota kinabalu, dalam tangkapan di beberapa lokasi di daerah ini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M Chandra berkata, tiga beranak yang masing-masing berusia 11, 40 dan 42 tahun itu berjaya dicekup di sebuah lokasi berhampiran kawasan Telipok, selepas disyaki terlibat dalam lima kes curi membabitkan pasar raya di sekitar Indah Permai dan Manggatal, selain dipercayai aktif sejak November tahun lalu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, sindiket itu akan menggunakan ahli kumpulan terdiri daripada beberapa wanita berpakaian labuh untuk memudahkan mereka mencuri barangan di pasar raya terbabit.
Tambah chandra, setiap barangan yang dicuri akan dijual di pasaran gelap bagi mengelak daripada kegiatan mereka diketahui oleh pihak berkuasa.
“Modus operandi sindiket ini adalah kumpulan perempuan memainkan peranan dengan masuk ke pasar raya untuk mencuri dengan memakai pakaian labuh.
“Mereka kemudian akan meletakkan barangan yang hendak dicuri ke dalam bakul sebelum memasukkan di dalam pakaian mereka sebelum berpura-pura berlegar dan seterusnya keluar dari pasar raya itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.
Mengulas lanjut, selain daripada tiga beranak yang ditahan, polis turut memberkas sembilan lagi individu lain di kawasan Skim Penempatan Telipok antara jam 2 hingga 3 pagi pada Ahad.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati, empat daripada mereka merupakan warga tempatan, tujuh (warga asing yang mempunyai dokumen perjalanan) manakala lima lagi tidak mempunyai dokumen sah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan curi dalam bangunan.
#ACP M Chandra #curi #Indah Permai #Ketua Polis Kota Kinabalu #Manggatal #pasar raya
;