Tiga beradik tinggal bersama 13 anjing kini jalani kehidupan lebih teratur

Bernama
September 23, 2020 17:20 MYT
Keadaan dalam rumah yang dihuni tiga beradik itu yang kotor dan dipenuhi najis anjing. -Sinar Harian
Tiga beradik berusia 12, 10, dan sembilan tahun yang diselamatkan daripada tinggal bersama 13 ekor anjing, musang dan timbunan sampah pada Isnin lalu, kini menjalani kehidupan yang lebih teratur di Rumah Kanak-Kanak Rapha di sini.
Kakak sulung tiga beradik itu berkata, mereka menerima pakaian baru dan tidak lagi kelaparan serta diberitahu akan ke sekolah yang lebih berhampiran dengan rumah tersebut, memandangkan sekolah asal mereka terlalu jauh.
"Kami diberikan kelas tambahan selain berpeluang belajar bermain alat muzik. Saya dan adik bongsu lebih kepada piano, manakala adik yang tengah berminat dengan gitar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kanak-kanak itu menambah bapa saudaranya ada datang melawat dan memaklumkan bapa mereka yang bekerja dalam hutan di Rompin, kira-kira 136 kilometer dari sini, akan datang berjumpa mereka pada hujung minggu ini.
Walaupun seronok dengan perubahan itu, tiga beradik itu mengakui sedih kerana terpaksa berpisah dengan 13 anjing itu - dengan setiap satu diberikan nama - yang telah diserahkan kepada pemilik baharu dengan hanya musang, labi-labi dan ikan masih di bawah jagaan bapa saudara mereka.
"Saya harap mereka (pemilik baharu) akan menjaga anjing dengan baik. Saya harap pak cik tidak lupa memberi makan pada haiwan lain di rumah. Musang adalah kepunyaan saya selepas terjumpa di bawah pokok, manakala dua lagi adik memelihara labi-labi dan ikan," katanya.
Kanak-kanak itu menambah mereka memahami keadaan bapa yang tidak dapat tinggal bersama kerana bekerja jauh, menyebabkan mereka sentiasa menunggu ketibaan hujung minggu untuk keluar berjalan-jalan, sebelum bapa mereka pulang ke Rompin.
Ibu mereka difahamkan sudah bekerja sama ada di Johor atau Singapura sejak tiga tahun lalu, menyebabkan mereka berada di bawah jagaan bapa saudara mereka yang menyewa premis itu, dengan harga RM500 sebulan.
Walaupun sering ponteng sekolah sebelum ini, kakak sulung itu berkata mereka tidak merayau, sebaliknya hanya keluar untuk membeli barang memasak, di pasar raya berhadapan rumah.
"Kami sudah tahu tugas masing-masing. Saya akan memasak lauk, adik kedua membasuh baju dan yang bongsu sudah tahu masak nasi dan menggoreng ikan. Kami akan bermain dan melukis bersama-sama, sementara menunggu pak cik pulang," katanya.
Dengan nada perlahan, kanak-kanak itu memberitahu mereka masih berharap dapat tinggal bersama dengan ahli keluarga dan haiwan peliharaan pada masa akan datang, jika bapa atau bapa saudara mereka dapat mencari rumah yang lebih baik.
Penyelia rumah kanak-kanak itu Grace Chan berkata, tiga beradik itu dilihat dapat menyesuaikan diri dengan baik di situ, dengan kakak sulung begitu melindungi dua adiknya yang setakat ini, masih kurang bercakap dengan penjaga atau rakan di situ.
"Dua beradik itu akan memandang kakak terlebih dahulu sebelum menjawab apa sahaja soalan yang diajukan. Mungkin mereka masih terkejut dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai masalah untuk turut serta, dengan aktiviti di sini," katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang melawat tiga beradik itu hari ini, menyampaikan sumbangan peribadi dan bersetuju membiayai kos perubatan kanak-kanak berusia 10 tahun, yang bengkak di bahagian belakang badan dipercayai akibat terjatuh beberapa hari lalu.
-- BERNAMA
#diselamatkan #jkm #Kanak-kanak #musang #Pahang #rumah kanak-kanak #rumah kebajikan #timbunan sampah #tinggal dengan anjing
;