Tiga beradik tiada kad pengenalan diri dibantu

Bernama
Julai 3, 2023 20:57 MYT
Mohd Azlan Helmi berkata pihaknya akan membantu ketiga-tiga anak Mashitah memperoleh dokumen pengenalan diri. - Gambar Bernama
KAMPAR: Kesempitan hidup, kealpaan dan keadaan suami yang buta huruf, menyebabkan sepasang suami isteri yang tinggal di Kampung Tebing Tinggi di Malim Nawar, berhadapan kesukaran apabila tiga daripada empat orang anaknya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sejak 20 tahun dahulu.
Mashitah Kamarulzaman, 39, berkata disebabkan masalah itu, dua orang anaknya iaitu lelaki berusia 22 dan anak perempuan berusia 21 tahun yang tidak pernah bersekolah, menghadapi kesukaran memohon pekerjaan, manakala seorang lagi anak lelaki berusia sembilan tahun juga tidak pernah ke sekolah.
Beliau berkata hanya anak perempuannya berusia 13 tahun mempunyai kad pengenalan kerana dibantu saudara terdekatnya sebelum ini dan kini belajar di Tingkatan Satu.
"Saya mengakui kesilapan berpunca daripada kami sendiri yang tidak tahu apa-apa dan tidak mengambil berat mengenai hal ini, sehingga menyukarkan kehidupan anak-anak saya.
"Seumur hidup tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ini, anak-anak saya pernah beberapa kali ditahan polis ketika melalui sekatan jalan raya. Mereka juga tidak keluar jauh dari kampung ini kerana risau ditahan pihak berkuasa sekali lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi Helmi
Sementara itu, Mashitah yang bekerja sebagai pembantu kedai makan hanya menerima pendapatankira-kira RM40 sehari, manakala suaminya Hariandi Dimun, 40, bekerja sebagai buruh binaan tidak tidak mempunyai pendapatan tetap.
Beliau juga menjaga empat orang anak saudaranya berusia dua hingga 10 tahun serta ibunya Maimunah Arif, 61, yang menghidap kanser ovari tahap tiga sejak dua tahun lepas.
Sementara itu, Mohd Azlan Helmi berkata pihaknya akan membantu ketiga-tiga anak Mashitah memperoleh dokumen pengenalan diri.
Beliau berkata dokumen berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan akan diproses dalam masa terdekat.
Mohd Azlan Helmi berkata anak Mashitah yang tidak bersekolah akan dihantar ke sekolah dengan kadar segera, supaya tidak berlaku keciciran dalam pelajaran.
"Pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) juga akan mendapatkan bantuan bulanan untuk Maimunah yang menghidap kanser ovari. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat termasuk ketua kampung dan pihak polis, yang membantu menyesaikan isu yang berbangkit," katanya.
-- BERNAMA
#tiga beradik #kad pengenalan #Kampung Tebing Tinggi #Mashitah Kamarulzaman
;