Tiga beradik perempuan lemas di Pantai Cahaya
Sinar Harian
April 23, 2023 22:08 MYT
April 23, 2023 22:08 MYT
PORT DICKSON: Tiga beradik ditemukan lemas selepas mandi bersama keluarga di Pantai Cahaya di sini pada petang Ahad.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Penolong Penguasa Bomba Azizee Alias berkata, mangsa masing-masing merupakan wanita berusia 19, 29 dan 30 tahun.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Teluk Kemang dikejarkan ke lokasi.
"Kejadian melibatkan sebuah keluarga yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita, empat daripadanya merupakan adik-beradik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Ujarnya, kedua-dua mangsa lelaki dalam keadaan selamat manakala tiga wanita berkenaan disahkan meninggalkan dunia oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis, dua lelaki yang selamat dIhantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.
Tambahnya, berdasarkan maklumat ketiga-tiga mangsa bersama adik lelakinya berusia 26 tahun dari Banting,Selangor dan seorang lagi saudara lelakinya berusia 29 tahun dari Perak dipercayai datang berkelah di lokasi sebelum mereka ditemukan lemas.