Tiga beradik mualaf: JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri pantau perkembangan
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 23, 2022 19:50 MYT
Mac 23, 2022 19:50 MYT
GEORGE TOWN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa memantau perkembangan tiga beradik mualaf yang kini berada dalam jagaan ibu kandung yang bukan beragama Islam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, pemantauan terhadap kanak-kanak itu dilakukan menerusi Majlis Agama Islam Negeri bergantung kepada tempat tinggal kanak-kanak tersebut.
Sirajuddin berkata, pemantauan dibuat mengikut beberapa resolusi yang digariskan oleh majlis agama negeri dan pakar undang-undang.
Ujarnya, setakat ini, tiada isu berbangkit berhubung tiga -tiga kanak-kanak tersebut selepas mereka kembali tinggal bersama ibu mereka , Loh Siew Hong di Sungai Petani, Kedah dan kini sedang dipantau Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).
"Sebagaimana yang dinyatakan tadi kita sudah buat Round Table Discussion (RTD) dimana perbincangan telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama negeri akan melaksanakan pemantauan dan ia memang di bawah majlis agama negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan tiga kanak-kanak yang kini berada dalam jagaan ibu beragama Hindu selepas diislamkan oleh bapa mereka.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) tidak terlibat dalam urusan kanak-kanak terbabit memandangkan mereka menetap di Sungai Petani, Kedah.
Jelasnya, tiga beradik berkenaan masing-masing kembar perempuan berumur 14 tahun dan seorang lelaki berumur 10 tahun hanya belajar di sebuah institusi agama di Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pulau Pinang,di George Town pada Rabu.
Pada 21 Februari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu kana-kanak tersebut.
Permohonan dibuat selepas beliau tidak dapat bertemu mereka kerana bekas suaminya M Nagahswaran menyembunyikan ketiga-tiga anaknya.
Siew Hong mendakwa mendapat tahu anak-anaknya berada dalam kawalan responden pertama (Nazirah dipercayai pendakwah) di Yayasan Hidayah Centre di Bayan Lepas, Pulau Pinang, namun dia (Nazirah) tidak membenarkannya pemohon bertemu dan menjemput anak-anaknya.
Beliau mendakwa anak-anaknya kemudian dipindahkan ke Perlis dan menempatkan mereka di bawah kawalan dua responden.