Tiga beradik maut dalam nahas di Lahad Datu
Sinar Harian
Mac 9, 2023 10:20 MYT
Mac 9, 2023 10:20 MYT
LAHAD DATU: Tiga beradik termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tungku Kampung Bekapit, di sini pada malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ellaine Sappari, 4, kakak dan abangnya iaitu Isang, 39, serta Amil, 45, disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.02 malam, seramai empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 34 kilometer dari balai.
Katanya, kemalangan membabitkan lapan mangsa dari tiga kenderaan iaitu motosikal jenis Honda Wave, dua pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max.
"Dalam kejadian itu, tiga beradik yang menaiki motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
"Sementara itu, lima lagi mangsa dari dua kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sumsoa berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 8.50 malam," katanya. - Sinar Harian