Tiga beradik lemas: Mayat ketiga ditemui, operasi SAR ditamatkan

Nur Fazlizai Ali
Mei 28, 2020 13:48 MYT
Mayat Khalif Naim Mohd, 16, ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi penemuan mangsa kedua pada jam 12.40 tengah hari tadi. Gambar Astro AWANI
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat mangsa terakhir dalam kejadian tiga beradik lemas di Sungai Terengganu di Kampung Kuala Telemong, pada Khamis.
Mayat Khalif Naim Mohd, 16, ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi penemuan mangsa kedua pada jam 12.40 tengah hari tadi.
Terdahulu, mangsa pertama Umar Iskandar Mohd, 21, ditemui kira-kira jam 9.50 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi semua mereka dilaporkan hilang pada petang Rabu.
Kurang dua jam selepas itu, mayat Khairil Firdaus Mohd, 17, pula ditemui tidak jauh dari lokasi berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, lokasi semua mangsa dikesan oleh anjing pengesan sebelum unit skuba membuat selaman.
"Dalam operasi SAR malam tadi, kita hanya membuat pencarian di permukaan dan tidak menemui apa-apa petanda dan terpaksa menghentikan operasi jam 12 tengah malam.
"Operasi yang disambung semula pagi ini turut disertai pasukan anjing pengesan (K9) dari Kuala Lumpur.
"Dua ekor anjing pengesan terbabit berjaya mengesan lokasi mayat ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam sungai itu sebelum pasukan penyelam membuat pencarian di dasar," katanya di sini pada Khamis.
Pada Rabu, tiga beradik itu dilaporkan lemas ketika mandi di Sungai Terengganu, yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka, pada sekitar jam 6 petang.
BACA: Tiga beradik dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu
BACA: Tiga beradik lemas: Mayat kedua ditemui di dasar sungai
BACA: 3 beradik lemas: Mayat seorang mangsa ditemui
#Aidilfitri #berhampiran rumah #ditemui #lemas #mayat #syawal #telemong #terengganu #tiga beradik
;