Tiga beradik lemas di kolam ikan
Radhi Muslim
Februari 17, 2019 16:26 MYT
Februari 17, 2019 16:26 MYT
Hiba dan pilu, apabila tiga beradik lemas dalam satu kejadian di Kampung Bintang Mas, dekat sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa semuanya lelaki berumur enam, lapan dan sepuluh tahun dilaporkan lemas di sebuah kolam ikan.
Difahamkan, sebelum itu tiga beradik berkenaan mandi bersama rakan mereka di sebuah kolam terbiar berdekatan rumah mereka.
Bapa saudara mangsa Muslimin Mohd Yahya, 32 tahun, berkata, rakan mangsa berlari ke rumah memaklumkan kejadian kepada bapa mangsa.
"Sejurus itu, bapanya berlari ke kolam terbabit sebelum mendapati ketiga-tiga anak lelakinya sudah lemas.
"Mereka sempat bawa ke Klinik Kesihatan Telupid, namun disahkan sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, pada Ahad.
Menurutnya, tiga beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Pangiran, Sungai Sapi, pada Ahad.
"Kejadian sangat mengejutkan kami kerana mereka tidak pernah pun mandi ke kolam itu," jelasnya lagi.