Tiga beradik buta usahakan kraftangan, bantal kekabu
Adie Sufian Zulkefli
Mac 6, 2021 14:18 MYT
Mac 6, 2021 14:18 MYT
ARAU: Cacat penglihatan tidak pernah mematahkan sifat dan semangat berdikari kepada tiga beradik
Che Halijah Che Ibrahim, 80, Che Manai Che Ibrahim, 74, dan Che Zainah Che Ibrahim, 69.
Sebaliknya, kecekalan dalam meneruskan kehidupan dengan berdiri di kaki sendiri sewajarnya menjadi tauladan kepada golongan yang sempurna.
Warga emas tiga beradik orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang tinggal di Kampung Titi Besi, di sini tidak mengharapkan belas ihsan sesiapa, sebaliknya, mereka mengusahakan kraftangan dan bantal kekabu untuk kelangsungan hidup.
Menurut Che Zainah, 69, adik bongsu daripada tiga beradik itu, mereka mampu bangkit semula selepas kehilangan kediaman selepas rumah mereka terbakar akibat perbuatan khianat beberapa hari sebelum Aidilfitri, dua tahun lalu.
Dalam kejadian itu, rumah didiami Che Zainah serta dua kakaknya dibakar anak saudara lelaki mereka yang dikatakan berang terhadap tiga beradik itu kerana tidak memperoleh wang mencukupi hasil daripada penjualan buah kelapa di tanah pusaka.
Kata Che Zainah, walaupun dunianya kelam, mereka tidak mahu menyusahkan orang lain, sebaliknya, lebih selesa berdikari dengan mengusahakan dan menjual barangan kraftangan serta bantal kekabu.
“Selain daripada kraftangan, (kami) buat bantal, jual bantal… bolehlah tambah (pendapatan), menampung (kehidupan), oleh kerana ada dapur, bolehlah beli (barang mentah) masak, tak perlu beli,” kata Che Zainah.
Menurut Che Zainah, memandangkan kakak-kakaknya sudah tidak berdaya melakukan kerja-kerja pembuatan itu, maka menjadi tugasnya meneruskan perniagaan.
Katanya, semua hasil anyaman itu dijual di lot perniagaan Majlis Perbandaran Kangar di Jalan Arau-Pauh, bermula pukul 7 pagi pada setiap Isnin hingga Jumaat, manakala pada setiap Sabtu dan Ahad, dia menjalankan jualan di Pasar Tani di Taman Sena Indah, Kangar.
Hasil jualan yang diperoleh adakala hanya mencecah RM20 sehari, namun, mereka tetap bersyukur kerana masih mampu untuk berniaga.
Kisah tiga beradik ini turut mendapat perhatian Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pihaknya kagum dengan kecekalan tiga beradik yang buta sejak kecil itu dan mampu meneruskan hidup seperti orang biasa.
Justeru, kata beliau, apa yang diharapkan pihaknya ialah dengan bantuan program YADIM Peduli itu dapat meringankan beban mereka.
“Sekiranya, (golongan) OKU diambil berat oleh masyarakat sekitar, maka mereka akan dapat menjalankan fungsi hidup dengan baik.
“Hari ini merupakan bukti walaupun kita (YADIM) untuk hulur bantuan sedikit sebanyak kepada mereka, tapi dalam masa sama untuk meuar-uarkan bahawa peranan masyarakat dan kejiranan dalam membantu golongan sebegini adalah model masyarakat yang sepatutnya ada dalam seluruh kehidupan rakyat Malaysia,” kata beliau.
#tiga beradik buta
#kraftangan
#bantal kekabu
#cacat penglihatan
#Orang Kurang Upaya
#Che Halijah
#Che Manai Che Ibrahim
#Che Zainah
#Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
#YADIM