Tiga bekas pengasuh taska didakwa abai bayi, kanak-kanak
Bernama
Disember 15, 2014 15:28 MYT
Disember 15, 2014 15:28 MYT
Tiga bekas pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan mengabaikan dua bayi dan lima kanak-kanak pada Mei lepas.
Muhaini Abdul Rasid, 21; Noor Amyliah Rosli, 27; dan Rohaniah Zakaria, 21; didakwa mengabai dan mendedahkan dengan cara yang mungkin menyebabkan seorang bayi lelaki dan perempuan serta tiga kanak-kanak perempuan dan dua lelaki, yang berusia antara tujuh bulan dan dua tahun 10 bulan itu mengalami kecederaan emosi.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taska Khalifah Mama, Jalan Melawis 7, Bukit Beruang di sini pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada 8 hingga 28 Mei lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal kemudian memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira keseriusan kes tersebut serta melibatkan mangsa yang masih kecil.
Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Faiezad Razali bagaimanapun memohon ikat jamin RM2,000 bagi keseluruhan pertuduhan.
Faiezad memberi alasan Muhaini dan Noor Amyliah tidak lagi bekerja serta perlu menjaga anak masing-masing berusia enam bulan dan tiga tahun manakala Rohaniah pula kini bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM900 sebulan.
Hakim Jamaludin Mat kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 19 Jan untuk sebutan semula kes.