Tiga bekas pegawai kanan Ismail Sabri dibebaskan petang ini - Azam Baki

Assim Hassan
Februari 25, 2025 13:23 MYT
Azam berkata, ketiga-tiga mereka termasuk yang bergelar Datuk itu dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat pada hari ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tiga bekas pegawai kanan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dibebaskan dengan jaminan petang Selasa.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketiga-tiga mereka termasuk yang bergelar Datuk itu dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat pada hari ini.
Bagaimanapun tegasnya, kes itu masih diteruskan selain memanggil saksi-saksi untuk membantu siasatan.
“Daripada empat yang ditahan tempoh hari, seorang sudah dibebaskan pada hari Ahad, manakala pada hari ini baki tiga orang itu akan dilepaskan pada petang ini.
“Siasatan masih diteruskan dan kita (akan) memanggil ramai lagi saksi-saksi… beri masa kepada kami untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ujar beliau, banyak perkara yang perlu ‘secure’ (simpan) terlebih dahulu dan buat masa ini beliau tidak boleh memberi sebarang perincian tentang siasatan yang sedang dijalankan.
Katanya, beliau akan mengumumkan hasil selepas siasatan mengenai kes itu lengkap dan selesai.
Ditanya mengenai dakwaan penemuan wang tunai lebih RM100 juta, Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Empat individu termasuk dua bergelar Datuk yang merupakan bekas pegawai kanan mantan Perdana Menteri disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Pada Jumaat lepas, SPRM menahan reman empat pegawai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Putrajaya.
#pegawai kanan bekas PM #dibebaskan #Azam Baki #ismail sabri yaakob #terkini #SPRM
;