'Tiga barang RM10' - Kedai Wan Tarmizi jadi popular
Astro Awani
Mei 20, 2020 10:41 MYT
Mei 20, 2020 10:41 MYT
Ketika kebanyakan peniaga hanya memikirkan cara mengaut keuntungan berlipat ganda, lain pula dengan seorang peniaga di sini yang sanggup menjual barang dapur pada harga jauh lebih murah.
Walaupun hanya memperoleh untung yang sedikit, bagi Wan Mohd Tarmizi Wan Hamzah, ia adalah caranya membantu orang ramai mendapatkan barang keperluan pada harga yang memuaskan.
Sebagai contoh, dua papan telur Gred C hanya dijual pada harga RM10.
Paling menarik, campuran tiga barang seperti bawang merah, halia dan ubi kentang juga dijual pada harga RM10.
Disebabkan tawaran 'harga runtuh' itu, kedainya yang terletak di Permatang Bendahari di sini, menjadi tumpuan penduduk setempat sejak seminggu lalu.
"Prinsip kami, biar jual banyak, tetapi untung sikit, tak mengapa, asalkan kita jual murah. Kalau kita ambil untung banyak, tetapi dapat jual sikit saja, tak boleh juga, kan?" katanya.
Wan Mohd Tarmizi, 42 tahun, berkata, walaupun barangannya dijual pada harga murah, tidak bermakna ia rendah atau tiada berkualiti.
"Kami hanya jual barang gred A. Kami tidak akan ambil gred B atau gred C.
"Contohnya bawang putih, kami jual bawang putih besar, bukan bawang putih kecil. Bawang India pun kami ambil yang gred A, tetapi kami masih boleh jual dengan harga murah," tambahnya.
Selain bawang merah, barang lain yang boleh dicampur dan dijual pada harga RM10 ialah cili kering dan bawang putih.
Malah bawang besar India yang mendapat permintaan tinggi dijual pada harga hanya RM15 bagi setiap beg seberat 7.5 kilogram.
Berikutan harga yang jauh lebih rendah berbanding di tempat lain, kedai Wan Mohd Tarmizi mencuri perhatian penduduk sekitar Kota Kuala Muda, Kedah untuk membeli barang dapur.
Bagi pelanggan, Che Nahar Ismail, 56 tahun, dia tertarik dengan tawaran harga runtuh tersebut dan tidak mahu melepaskan peluang membeli barang dapur sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
"Murah barang-barang di sini. Terkejut bila saya datang sini. Kalau di luar, memang tak dapat. di luar, satu guni bawang RM8.
"Di sini, Alhamdulillah tiga barang RM10. Memang boleh beli sangat-sangat," katanya.
Seorang lagi pelanggan, Sabri Saidin, 59 tahun, pula menghargai inisiatif peniaga tersebut yang tidak sekadar mengejar keuntungan tetapi boleh dianggap sebagai satu bentuk kebajikan sosial.
"Saya rasa inilah barang yang paling murah di sekitar kawasan ini, dengan harga yang berpatutan, tiga barang RM10.
"Jadi, kami di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Wan Mohd Tarmizi kerana memberi harga yang berpatutan kepada orang kampung.
"Tempat lain memang tak boleh dapat macam ini. Di sini saja yang ada harga paling murah. Tiga barang RM10," katanya.
Sabri turut mencadangkan peniaga lain mengikut jejak sama dengan menjual barang keperluan pada harga murah, terutama dalam keadaan ekonomi kurang memberangsangkan ketika ini.
#Aidilfitri
#barang dapur
#bawang merah
#bawang putih
#cili kering
#ekonomi
#harga
#India
#Kepala Batas
#keuntungan
#murah
#peniaga
#pulau pinang
#telur
#tiga barang RM10
#untung