Tiga bapa saudara dihukum penjara, sebat lakukan amang seksual, rogol anak saudara

Bernama
September 27, 2024 20:49 MYT
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 29 tahun dan 11 sebatan ke atas seorang penganggur, kerana melakukan amang seksual fizikal dan merogol anak saudaranya berusia 11 tahun, enam tahun lepas. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 29 tahun dan 11 sebatan ke atas seorang penganggur, kerana melakukan amang seksual fizikal dan merogol anak saudaranya berusia 11 tahun, enam tahun lepas.
Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 45 tahun itu, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan empat sebatan bagi pertuduhan amang seksual, serta penjara 17 tahun dan tujuh sebatan atas kesalahan merogol kanak-kanak perempuan itu dan memerintahkan hukuman berkenaan berjalan berasingan bermula hari ini.
"Tertuduh turut diperintahkan menjalani sesi kaunseling selama setahun, serta pengawasan polis selama setahun," kata Mohd Kafli.
Lelaki itu sebagai bapa saudara didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berumur 11 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Pantai Dalam, Brickfields di sini pada 8 malam, Disember 2018.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK 2017) dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1), boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.
Dia juga dituduh merogol kanak-kanak perempuan itu pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan, yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan dan dibaca bersama Seksyen 16(1) AKKSTKK 2017.
Dalam prosiding sama, dua lagi bapa saudara kanak-kanak perempuan itu berusia 31 dan 29 tahun, masing-masing dihukum penjara 12 tahun dengan empat sebatan serta tujuh tahun dan dua sebatan bermula hari ini, selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan kesalahan itu dilakukan di tempat sama pada November 2019, pada pukul 7 malam serta 4 petang pada bulan Disember 2019.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani sesi kaunseling selama setahun, serta pengawasan polis selama setahun selepas selesai proses hukuman.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama dan Seksyen 15(a)(i) AKKSTKK 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) akta sama iaitu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dikenakan dua sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon mahkamah memberikan hukuman pemenjaraan dan sebatan maksimum, dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan kesemua tertuduh.
"Mangsa mengalami trauma sehingga kanak-kanak itu mempunyai cubaan untuk membunuh diri apabila terdapat kesan-kesan kelar pada pergelangan tangannya. Ketiga-tiga tertuduh ini, mempunyai hubungan darah dengan mangsa yang sepatutnya melindungi mangsa.
"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara dan sebatan maksimum serta hukuman penjara tidak berjalan serentak," kata Noor Shakira.
Bagaimanapun, ketiga-tiga beradik itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung ibu bapa mereka.
Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan iaitu ketiga-tiga tertuduh, memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada Mac lepas.
-- BERNAMA
#bapa saudara #dihukum penjara #amang seksual #anak saudara #rogol
;