Tiga bank setuju beri moratorium enam bulan kepada mangsa banjir - PM Anwar

Hasimi Muhamad
Mac 7, 2023 11:35 MYT
Tiga buah bank bersetuju untuk memberikan moratorium sehingga enam bulan kepada mangsa banjir di negeri Johor setakat ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiga buah bank bersetuju untuk memberikan moratorium sehingga enam bulan kepada mangsa banjir di negeri Johor setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketiga-tiga buah bank itu adalah Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd (CIMB) dan Agrobank.
“Dengan langkah ini, semalam dan hari ini kita menghubungi bank-bank lain supaya mengikuti langkah yang diambil oleh Maybank dan CIMB. Agrobank Menteri Pertanian kata 'okey',” katanya semasa pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta penjelasan kerajaan mengapa masih tidak melaksanakan darurat banjir khususnya di Johor dengan jumlah mangsa banjir terus melonjak di pusat pemindahan sementara (PPS).
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Perdana Menteri agar mempertimbangkan moratorium antara tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa banjir di Johor.
Manakala, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam entri di laman Facebook pada Isnin berkata, Agrobank akan memberikan moratorium dan pengecualian caj ke atas penukaran kad debit ATM dan buku akaun simpanan kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir.
Menyentuh mengenai darurat banjir, Anwar sekali lagi menegaskan, tiada keperluan untuk pelaksanaan perkara itu di Johor kerana keadaan terkini semakin terkawal
“Di kawasan Felda yang terputus lalu lintas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah segera membina Jambatan Bailey,” tambah Perdana Menteri.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan akan meneruskan projek tebatan banjir di Johor dan Sungai Golok, Kelantan.
"Saya nak tegaskan sekali lagi di sini, projek tebatan banjir diluluskan oleh kementerian masing-masing dengan peruntukan yang ditetapkan.
"Saya batalkan kerana kos itu tinggi dan melalui rundingan terus tetapi projek itu mesti diteruskan. Saya sudah umum dalam Bajet 2023, dan ini termasuk tebatan banjir di Johor dan Sungai Golok, Kelantan.
"Jadi nak kata diskriminasi projek ini pasal apa?" soal Perdana Menteri.
#Anwar Ibrahim #Kerajaan Perpaduan #Moratorium banjir #banjir johor
;