Tiga bangkai penyu agar dijumpai di Pantai Chakar Hutan

Bernama
Mac 15, 2025 16:30 MYT
Satu daripada tiga bangkai penyu agar jantan yang ditemui terdampar di Pantai Chakar Hutan, Kerteh dalam tempoh kurang 31 jam oleh NGO PULIHARA. -Bernama
KUALA TERENGGANU: Tiga ekor bangkai penyu agar jantan ditemui terdampar dalam tempoh kurang 31 jam di Pantai Chakar Hutan, Kerteh di Kemaman oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (PULIHARA).

Ringkasan AI
  • Tiga bangkai penyu agar jantan ditemui terdampar di Pantai Chakar Hutan, Kerteh dalam tempoh kurang 31 jam oleh NGO PULIHARA.
  • Penyu pertama dan kedua dianggarkan mati antara satu hingga dua hari, manakala penyu ketiga dipercayai mati sejak seminggu lalu akibat tersangkut pada pukat pari.
  • Pihak PULIHARA telah melaporkan penemuan tersebut kepada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu DOF dan sedang dalam proses menanam bangkai penyu tersebut.

Pembantu lapangan PULIHARA Amira Hasanah Azaman berkata beliau dan pasukannya menemukan bangkai penyu pertama pada 12.50 tengah malam semalam ketika membuat rondaan penyu bertelur di kawasan berkenaan.
"Kemudian pada 8.56 malam tadi kami jumpa bangkai kedua sebelum menemukan lagi satu pada 7.20 pagi tadi, semuanya ditemukan pada jarak 300 hingga 500 meter antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata berdasarkan ukuran cengkerang, bangkai penyu pertama dan kedua yang masing-masing 91.8 sentimeter (cm) dan 85.3cm adalah penyu pra-dewasa (sub-adult) manakala bangkai penyu ketika adalah dewasa dengan ukuran 97cm.
Amira berkata pemeriksaan fizikal mendapati penyu pertama dan kedua dianggarkan telah mati antara satu hingga dua hari sementara penyu ketiga pula sejak seminggu lepas memandangkan kulitnya yang telah tertanggal.
"Punca kematian penyu pertama dan kedua tidak dapat dipastikan sebab dah kembung, manakala yang ketiga kami percaya tersangkut pada pukat pari, sebab nampak ada kesan tukul atau parang di bahagian atas cengkerang dan leher.
"Kami mengesyaki ia (kesan luka) mungkin dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin melepaskannya dari pukat berkenaan," katanya.
Penggunaan pukat pari adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 yang boleh didakwa di mahkamah.
Amira Hasanah berkata pihaknya telah melaporkan penemuan itu kepada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu DOF, dan sedang dalam proses menanam ketiga-tiga bangkai penyu tersebut.
-- BERNAMA
#bangkai penyu agar jantan #Pantai Chakar Hutan #NGO PULIHARA #Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu
;