Tiga balai bomba baharu di Sarawak akan mula beroperasi tahun ini
Bernama
Januari 18, 2022 06:32 MYT
Januari 18, 2022 06:32 MYT
KUCHING: Tiga balai bomba dan penyelamat (BBP) baharu di Sarawak masing-masing di Lutong (Miri), Kidurong (Bintulu) dan Asajaya (Samarahan) yang sudah siap dibina dijangka diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat menjelang Februari ini,.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata seramai 24 anggota akan ditempatkan di setiap BBP baharu berkenaan selain diperkuatkan dengan kehadiran anggota bomba bantuan.
Bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Hero Bomba kepada tujuh penerima di sini pada Selasa, tiga BBP baharu itu akan menjadikan jumlah BBP di Sarawak kepada 38 buah kerana balai sedia ada di Asajaya merupakan balai sementara.
Beliau berkata berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh jabatannya, Sarawak memerlukan tambahan 20 BBP baharu sebagai tambahan kepada 36 BBP sedia ada.
Selain itu, JBPM Sarawak juga merancang menubuhkan dua pasukan "Swift Water Rescue" masing-masingnya untuk ditempatkan di Telaga Air dan Bako, dua perkampungan nelayan di pinggir bandar dekat sini tahun ini .
"Kita akan mulakan pilot projek (projek perintis) ini terutama sekali untuk (operasi) keselamatan di air, melibatkan nelayan di kampung itu yang kita akan latih dan bila bertugas, kita akan bayar elaun. Mereka boleh bantu jika ada SAR (operasi mencari dan menyelamat)," katanya.
Khiruddin berkata JBPM akan mendapatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat besar bagi menyokong penubuhan pasukan-pasukan ini sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat mereka.
Sementara itu beliau berkata JBPM Sarawak menerima sebanyak 14,053 panggilan kecemasan pada tahun lepas dengan kebakaran (1,975 panggilan), penyelamatan (8,331 panggilan), tugas-tugas khas (3,740 panggilan) dan palsu (tujuh panggilan).
Keseluruhan panggilan kecemasan tahun lepas juga meningkat sebanyak 4,668 panggilan berbanding keseluruhan panggilan itu pada 2020.
BBP Miri Sentral paling banyak menerima jumlah panggilan kecemasan tahun lepas dengan 986 panggilan, diikuti BBP Petra Jaya (882 panggilan) dan BBP Batu Lintang (879 panggilan).
-- BERNAMA