Tiga anggota TLDM maut, 1 parah, trak terbabas remuk teruk

Ruzaini Zulkepli
Jun 23, 2020 18:54 MYT
Difahamkan, semua mereka yang bertugas di TLDM Wilayah Laut Dua (MAWILLA 2) Sandakan dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu ketika kejadian itu berlaku. -JBPM
Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut apabila trak tentera dinaiki mereka terbabas di Jalan Ranau-Tamparuli, di sini, tengah hari Selasa.
Sementara itu, seorang lagi anggota parah dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu yang menyebabkan bahagian atas trak berkenaan remuk teruk.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Maslim Abdul Rahim, Mohamad Firdaus Mat Izan dan Muhammad Arif Idris.
Difahamkan, semua mereka yang bertugas di TLDM Wilayah Laut Dua (MAWILLA 2) Sandakan dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu ketika kejadian itu berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.03 petang sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, kita dapati trak berkenaan terbabas di tepi jalan.
"Kita dapati tiga mangsa yang meninggal dunia sudah dikeluarkan oleh orang awam daripada trak berkenaan sebelum ketibaan bomba.
"Seorang lagi mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut," katanya.
#Hospital #kemalangan #Kota Kinabalu #maut #meninggal dunia #Sandakan #tiga anggota #TLDM
;