Tiga anggota polis ditahan, kes rompak bersenjatakan pistol
Umavathi Ramayah
Ogos 1, 2024 17:55 MYT
Ogos 1, 2024 17:55 MYT
KAJANG: Tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan pistol di sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, Semenyih.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua daripada suspek berusia 32 dan 35 tahun ditahan di Batalion 19, PGA, Cheras, pada Rabu, manakala seorang lagi suspek berusia 24 tahun menyerah diri kira-kira pukul 1 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, pada Khamis.
"Dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini (Khamis) manakala seorang lagi suspek, polis akan membuat permohonan reman esok (Jumaat)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Menurut Hussein, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.17 tengah malam, Rabu.
Beliau memberitahu, siasatan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti lebih berat) yang memperuntukan hukuman mati.
Hussein sekali lagi menegaskan tidak akan melindungi mana-mana pegawai mahupun anggota yang terlibat dalam salah laku jenayah.
"Siasatan akan dilakukan sepenuhnya mengkut jenayah yang dilakukan tanpa sebarang kompromi," tambahnya.