Tiga anggota polis ditahan di pusat hiburan, positif dadah

Sinar Harian
Oktober 6, 2024 14:45 MYT
Menurut Hussein, suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman dua hari untuk siasatan selanjutnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis antara 14 individu ditahan setelah didapati positif dadah dalam serbuan dan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan dekat kawasan Taman Dutamas, Cheras pada Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi sebelum itu dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang di premis terbabit.
"Hasil pemeriksaan, 14 individu telah ditahan atas kesalahan positif dadah setelah saringan air kencing dijalankan.
"Tiga daripada kesemua individu terbabit merupakan anggota polis dan bertugas di IPD Kajang," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman dua hari untuk siasatan selanjutnya.
"Ketiga-tiga suspek telah ditukarkan serta-merta ke Jabatan Pengurusan IPK sementara menunggu hasil siasatan.
"Satu siasatan tatatertib juga akan menyusul untuk tindakan dalaman PDRM," katanya.
Tegasnya, pegawai dan anggota polis adalah dilarang sama sekali berada di pusat-pusat hiburan kecuali atas urusan tugas.
"Tindakan tegas termasuk tuduhan jenayah akan diambil kepada mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar arahan ini.
"Ini termasuk kepada mana-mana yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah," katanya. -- Sinar Harian
#anggota polis ditahan #positif dadah #pusat hiburan #Polis Selangor
;