Tiga anggota polis cedera dalam insiden letupan bom di Pattani

Bernama
Jun 21, 2022 20:20 MYT
Setakat ini belum ada mana-mana kumpulan mengakui terlibat dengan insiden letupan itu. - Foto fail/REUTERS
PATTANI: Tiga anggota polis cedera dalam insiden letupan bom di Pattani, selatan Thailand.
Ketua Polis Daerah Pattani Jeneral Pol Narin Busaman berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam (waktu tempatan) pada Isnin, sebutir bom buatan sendiri seberat lebih 50 kilogram yang dipasang pada sebuah trak sampah diletupkan.
Beliau berkata trak sampah itu dilarikan dari pejabat Majlis Pentadbiran Mukim Langgar di Daerah Mayo, Pattani kira-kira sejam sebelum kejadian.
Beliau berkata bangunan yang terletak berdekatan tempat kejadian letupan termasuk kuarters polis dan pos kawalan mengalami kerosakan.
"Tiga anggota polis yang berada di kuarters dan pos kawalan keselamatan mengalami cedera ringan," katanya kepada Bernama pada Selasa.
Beliau menambah bahawa trak sampah itu musnah dalam kejadian itu.
Sementara itu, Narin berkata empat pekerja diikat tangan oleh beberapa individu bersenjata sebelum melarikan trak sampah itu.
Narin berkata setakat ini belum ada mana-mana kumpulan mengakui terlibat dengan insiden itu.
-- BERNAMA
#letupan bom #selatan thailand #Pattani #polis cedera