Tiga anak pelarian Syria lakar keputusan cemerlang dalam peperiksaan IGCSE

Nickyson Nyambar
Ogos 12, 2021 11:15 MYT
Ketiga-tiga pelajar ini, Souzan Salem Al Tahan, Rouba Khaled Al Saed dan Mohamad Mazen Al Bunnidiatas berjaya mencorak keputusan yang cemerlang dalam IGCSE, sekali gus membuktikan mereka juga boleh berjaya seperti yang lain. - Gambar @malaysia4syria
KUALA LUMPUR : Tiga anak pelarian Syria yang menuntut di sekolah Jasmine Ash Sham, Kuala Lumpur berjaya melakar keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan O-Level International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
Berita gembira itu diumumkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia For Syria menerusi laman instagramnya @malaysia4syria.
Tiga pelajar yang melakar keputusan membanggakan itu adalah Souzan Salem Al Tahan, Rouba Khaled Al Saed dan Mohamad Mazen Al Bunnidiatas.
"Menjadi pelarian Syria tidak menghalang mereka cemerlang dalam pelajaran. Tiga orang pelajar Sekolah Jasmine Ash-Sham yang diasaskan oleh Malaysia for Syria ini telah menerima keputusan cemerlang di dalam peperiksaan O-Level IGCSE mereka pada hari ini.
"Tahniah kepada pelajar-pelajar tersebut dan terima kasih kepada semua tenaga pengajar yang banyak berkorban demi kejayaan ini.
"Tidak dilupakan para penyumbang budiman yang terus komited menyalurkan sumbangan dan sokongan kepada kelangsungan sekolah ini. Alhamdulillah! Malaysia for Syria Jasmine Ash-Sham Alternative Education Centre," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Souzan Salem Altahan telah mendapat keputusan 5A+ dan 1A, manakala Rouba Khaled Al Saed pula menerima keputusan 1A+, 2A, 2B dan 1 C.
"Bagi Mohamad Mazen Al Bunnidiatas, dia mencatatkan 5A+ dan 1B dalam peperiksaan itu," kongsi Malaysia For Syria.
#Malaysia For Syria #Tiga pelajar lakar keputusan cemerlang #IGCSE #International General Certificate of Secondary Education