Tiga anak pasangan maut terkena renjatan elektrik dibawa balik ke Sarawak

Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 15, 2022 20:05 MYT
Fadillah (tengah) berkata, segala urusan penerbangan pulang, termasuk penginapan transit tiga beradik berkenaan dan waris terlibat akan diuruskan oleh Sarawak Volunteers.
KUCHING: Ketiga-tiga anak mendiang pasangan suami isteri Damian dan Ronwina Mambai yang maut akibat renjatan elektrik di rumah mereka di pangsapuri Taman Tringkap Puncak, Cameron Highlands akan kembali ke Kuching esok.
Elisa Oliva, 10, Jospeh Rayyan, 8, dan Magdalena, 2, akan dihantar pulang ke Kuching diiringi abang kepada mendiang ibu mereka Robert Adi.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata segala urusan penerbangan pulang, termasuk penginapan transit tiga beradik berkenaan dan waris terlibat akan diuruskan oleh Sarawak Volunteers.
“Sarawak Volunteers juga akan membiayai sepenuhnya urusan pengebumian kedua-dua mangsa dengan bantuan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur.
“Urusan membantu keluarga berkenaan digerakkan sejak hari kejadian dengan pegawai Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteers bagi menghulurkan bantuan yang perlu,” kongsinya dalam satu hantaran di facebook beliau pada Selasa.
Pada 10 Mac, pasangan suami isteri yang berasal daripada Simunjan, Samarahan itu ditemukan meninggal dunia dalam bilik air di rumah mereka dipercayai terkena renjatan elektrik.
Rombongan berkenaan dijangka tiba sebelah pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) yang juga akan disambut Pegawai Pelindung dan Pegawai Pejabat Kebajikan Samarahan.
#renjatan elektrik #pasangan suami isteri maut #anak bawa pulang #Fadillah Yusof
;