Tiga anak OKU dibela bapa tunggal dapat perhatian Sultan Muhammad V

Vivi Sumanti
November 4, 2019 20:37 MYT
Sultan MUhammad V (kanan) berkenan mencemar duli menziarah tiga beradik itu yang disambut bapa mereka, Mohd Zain Abdullah, 56, pada Isnin.
Keluarga tiga beradik yang menghidap Cerebral Palsy (CP) di Kampung Kok Keli 1, di sini hari ini dikejutkan dengan kedatangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Baginda berkenan mencemar duli menziarah tiga beradik itu yang disambut bapa mereka, Mohd Zain Abdullah, 56, pada 5.20 petang.
Baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bertanya khabar selain turut menyampaikan sumbangan wang tunai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sertq sumbangan peribadinya kepada keluarga itu.
Mohd Zain ketika ditemui berkata, dia terkejut dan tidak menyangka akan dikunjungi oleh Sultan Muhammad V.
"Saya sudah dihubungi wakil istana pagi semalam, namun pada mulanya tidak percaya baginda akan menziarahi anak-anak.
"Namun selepas diyakinkan, saya berbesar hati dan gemuruh menerima kunjungan Sultan kesayangan rakyat Kelantan," katanya.
Turut berangkat mengiringi baginda, Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bersama isteri, Puan Sri Tengku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Media sebelum ini melaporkan Mohd Zain terpaksa menggalas tugas menjaga dan membesarkan tiga anak orang kurang upaya (OKU) apabila isterinya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tumpat akibat kanser payu dara pada Disember 2017.
Kegigihan Mohd Zain menyara tiga anaknya itu mendapat perhatian ramai pihak yang simpati dengan nasib keluarga terbabit.
#Adat Istiadat Melayu Kelantan #anak OKU #MAIK #majlis agama Islam #Sultan Kelantan #Sultan Muhammad V #sumbangan #sumbangan wang tunai
;