Tiga anak bekas komando tiada status warga negara

Sinar Harian
Disember 31, 2021 16:12 MYT
Dari kiri: Mohd Samsul, Nur Salehah dan Nur Hidayah ketika ditemui di rumah mereka di Bandar Armada Putra pada Jumaat. (Gambar kecil: Abdul Hamid) - Foto Sinar Harian
PELABUHAN KLANG: Tiga orang anak kepada seorang bekas komando, Abdul Sani Darus, 58, di Bandar Armada Putra, di sini yang meninggal dunia pada November lalu didapati masih tidak memiliki status warga negara disebabkan tiada sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Ketiga-tiga mereka ialah Nur Salehah Abdul Sani, 18; Nur Hidayah Abdul Sani, 17, dan Mohd Samsul Bahari Abdul Sani, 13, merupakan hasil perkahwinan Abdul Sani bersama seorang wanita warga Indonesia, Nur Fateha Gimin, 51.
Abang kandung kepada Allahyarham Abdul Sani, Abdul Hamid Darus, 70, berkata, perkara mengenai ketiadaan kad pengenalan oleh tiga anak saudaranya itu hanya diketahui melalui salah seorang anak daripada perkahwinan pertama arwah setelah kematian bapa mereka.
“Saya dapat tahu yang mereka ini tiada kad pengenalan melalui abang dia (anak perkahwinan pertama) kerana ingin mengetahui perkembangan persekolahan mereka dan nak tolong dapatkan kerja.
"Lepas itu, abang dia cakap macam mana nak sekolah sebab adik-adiknya tak ada sijil lahir apatah lagi kad pengenalan," katanya ketika ditemui di rumah arwah di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Naib Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tanpa Pencen Malaysia (PVATTBM), Abdul Aziz Mohd Ali.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga anak Abdul Sani yang meninggal dunia akibat sakit tua itu dilahirkan di hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang.
Abdul Hamid berkata, dia amat bersedih dengan pendidikan anak-anak saudaranya kerana mereka tidak pernah bersekolah meskipun sudah mencecah usia remaja.
Katanya, punca menyebabkan Abdul Sani tidak mendaftarkan kelahiran anak tersebut juga tidak diketahui.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membantu anak-anak Allahyarham untuk mendapatkan kad pengenalan masing-masing.
"Kita ada bukti kukuh untuk membantu anak-anak arwah kerana ada surat kebenaran yang mengatakan mereka lahir di hospital.
"Jadi kita akan cuba membantu dari segi wang ringgit, makanan dan yang paling penting kita akan buat surat sokongan daripada pihak persatuan untuk dimajukan kepada Jabatan Pendaftaran Negara," ujarnya.
Abdul Aziz turut memaklumkan bahawa Allahyarham Abdul Sani yang merupakan ahli persatuannya itu turut memiliki 10 orang anak menerusi perkahwinan bersama isteri pertamanya, warga tempatan yang kini sudah sudah meninggal dunia.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN
#anak komando #warga negara #tiada sijil kelahiran #Abdul Sani Darus
;