Tiga Ahli Parlimen diarah pakai PPE, dibawa menggunakan ambulans
Hasimi Muhamad
Disember 14, 2020 11:58 MYT
Disember 14, 2020 11:58 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga Ahli Parlimen yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) telah memohon kebenaran untuk hadir bagi sesi pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 Peringkat Jawatankuasa di Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Perkara itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini.
Sehubungan itu, Azhar berkata, ketiga-tiga mereka yang berkontak rapat dengan individu yang positif COVID-19 itu diarah memakai pakaian pelindung diri (PPE) dan akan dibawa menggunakan ambulans ke bangunan Parlimen.
Jelas Azhar, ia bagi memastikan tahap keselamatan para petugas dan bentara yang mengiringi Ahli-ahli Parlimen tersebut.
"(Selain itu), kita telah sediakan satu bilik untuk mereka duduk. Mereka duduk di situ dan kalau mereka ingin mengundi (RUU Perbekalan), mereka akan memakai PPE yang baharu.
"Mereka akan masuk menerusi pintu Galeri Awam dan undi akan diambil daripada mereka dan penghitung dan pemerhati terpaksa memakai visor.
"Selepas mengundi, mereka perlu meninggalkan Galeri Awam itu supaya kita dapat hadkan kontak dengan semua orang," katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) yang meminta penjelasan berhubung aspek keselamatan kepada bentara susulan kebenaran untuk Ahli Parlimen tersebut hadir pada sesi Dewan Rakyat.
Kelvin sebelum itu memohon penjelasan adakah Dewan Rakyat mengubah prosedur operasi standard (SOP) semata-mata untuk membenarkan ketiga-tiga Ahli Parlimen itu hadir.
Menjawab perkara itu, Azhar menegaskan bahawa Dewan Rakyat tidak mengubah sebarang SOP berkaitan garis panduan pencegahan COVID-19.
Sebaliknya, tegas Azhar, ketiga-tiga Ahli Parlimen itu perlu mendapatkan kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
"Sebenarnya saya tidak ubah SOP, saya hanya ikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga Dr Noor Hisham sebelum ini.
"Ada yang mengatakan kita tidak memberi peluang untuk mereka datang berdebat tetapi saya rasa untuk undian, kita membuat banyak kelonggaran.
"Untuk undian, kita benarkan semua masuk ke Dewan, dan ketiga-tiga (Ahli Parlimen), itu bukan keputusan saya.
"Mereka perlu meminta kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan dan kalau dibenarkan maka perlu mengikut SOP oleh beliau, bukan ditetapkan oleh saya," tegasnya.
#operasi
#Dewan Rakyat
#undang-undang
#DAP
#Kuching
#Parlimen
#SOP
#PPE
#COVID-19
#ahli Parlimen
#Kementerian Kesihatan
#Azhar Azizan Harun
#kontak rapat
#kes positif