Tiga ahli GISB didakwa eksploitasi manusia, amang seksual
Siti Nur Aqilla Omar
Oktober 13, 2024 13:05 MYT
Oktober 13, 2024 13:05 MYT
KOTA TINGGI: Tiga ahli yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services And Business (GISB) Holding dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, di sini hari ini atas pertuduhan ekspolitasi manusia dan amang seksual fizikal.
Ringkasan AI
- Pertuduhan Eksploitasi dan Amang Seksual: Tiga ahli GISB Holding didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas tuduhan eksploitasi manusia dan amang seksual fizikal. Mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
- Kesalahan di Ikhwan Resort: Kesalahan dilakukan di Ikhwan Resort, Kota Tinggi, dari Ogos 2023 hingga 1 Oktober 2023. Pertuduhan termasuk memperdagangkan empat individu untuk kerja paksa dengan ancaman.
- Jaminan dan Syarat Tambahan: Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh dan syarat tambahan seperti menyerahkan pasport dan melapor diri ke balai polis sebulan sekali. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 dan 28 November.
Kesemua suspek bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hassan.
Tertuduh, seorang pengurus Ikhwan Resort, Mahmad Hamal Tukiman, 57, dan Rabiahtul Adawiyah Md Shash, 3, berdepan empat pertuduhan secara berasingan.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama tiga suspek yang masih bebas Afizah Arifin, Mohamad Suhaimi Mohd Sani dan Norafiratul Abidah Ismail dengan niat bersama memperdagangkan empat individu termasuk tiga wanita, berumur antara 30 hingga 57 tahun, bagi maksud ekspolitasi kerja paksa dengan cara ancaman.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar Kota Tinggi, pada Ogos 2023 hingga 1 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Ahmad Khairuddin Khalid dan tertuduh diwakili peguam, Fathul Anuar Muin.
Khairuddin dalam cadangan jaminan memohon RM50,000 bagi setiap pertuduhan untuk setiap tertuduh.
Bagaimanapun, Fathul Anuar dalam penghujahan memohon mahkamah mempertimbangkannya dengan alasan Mahmad Hamal yang mempunyai 11 anak dan masih menanggung sembilan anaknya, serta dua isteri yang mana salah seorang sedang hamil lima bulan.
Mahkamah kemudiaan menetapkan RM40,000 jaminan dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh, passport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri ke balai polis sebulan sekali dan larangan mengganggu mangsa.
Sementara itu, dalam mahkamah sama, seorang penjaga lembu di Resort Ikhwan yang sama berdepan dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Tertuduh, Muhammad Ansarullah Tukino, 20, didakwa meraba peha dan kemaluan mangsa di surau resort berkenaan pada 1 dan 3 Jun lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh diwakili peguam Muhd Zaim Rosli.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan syarat tambahan yang sama.
Tarikh 27 dan 28 November depan ditetapkan sebagai sebut semula pengurusan kes.