Tiga agensi pelancongan bantah penangguhan umrah

Hasimi Muhamad
Januari 1, 2022 16:38 MYT
Penangguhan tersebut berisiko memberi kesan yang besar termasuk kerugian kepada jemaah, ajen pelancongan dan ekonomi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiga agensi pelancongan tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangguhkan perjalanan umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini.
Bantahan tersebut disuarakan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia serta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).
Menurut Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, penangguhan tersebut berisiko memberi kesan yang besar termasuk kerugian kepada jemaah, ejen pelancongan dan ekonomi.
"Memang PAPUH ada mesyuarat berhubung perkara itu, dengan status COVID-19 bertambah tetapi kita daripada pihak persatuan memohon kalau boleh ini jangan dibuat penangguhan dulu dan bagi kita peluang (untuk laksana) prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
BACA: COVID-19: Umrah ditangguh, 1,306 jemaah dikesan positif - Khairy
"Selepas perbincangan semua yang ada dalam mesyuarat itu, penangguhan itu diperlukan. Tetapi selepas kita berbincang dengan NADMA, dan kalau kita akur dengan menyediakan tempat kuarantin sebelum bertolak, dan NADMA kata kalau kita boleh buat, itu boleh dipertimbangkan," katanya dalam sidang media, di sini pada Sabtu.
[TERKINI] Sidang media Agensi Pelancongan Umrah
Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Naib Presiden MATTA, Mohd Azri Abd Razak dan
Wakil Persatuan Agensi Pelancongan Umrah, Abdul Rahman Mohd Ali.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, keputusan penangguhan tersebut disifatkan sebagai drastik.
Jelasnya lagi, hampir 80 peratus daripada kos umrah ditanggung oleh jemaah.
"Maka jemaah secara langsung mengalami kerugian kewangan yang besar bagi mereka yang telah membuat tempahan dan pembayaran kepada agensi pelancongan.
"Selain itu, penundaan ini juga melibatkan kos-kos pembatalan yang tinggi yang akan ditanggung oleh jemaah umrah, atas dasar pembayaran telah dibuat oleh pihak agensi pelancongan kepada pihak-pihak pembekal yang terlibat seperti kos penerbangan dan penginapan.
"Penundaan ini juga menyebabkan berlaku penempahan semula bagi mereka yang telah membuat tempahan sebelum ini dan menyebabkan tambahan kos pakej," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar KKM menarik semula penangguhan perjalanan umrah, dan memberikan notis sekurang-kurangnya sebulan sebelum penangguhan.
Ia bagi memboleh agensi pelancongan yang terlibat melakukan proses-proses yang sepatutnya agar jemaah umrah tidak menanggung kos yang besar, ujarnya.
"Memperketatkan proses saringan dan SOP-SOP lain sama ada sewaktu keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelepasan dari Arab Saudi dan sewaktu tiba di KLIA serta memantau statistik tersebut (kes COVID-19). Kemudian, barulah buat keputusan sama ada meneruskan atau menunda perjalanan umrah," tambahnya.
#COVID-19 #SOP #tangguh umrah #KKM #Kementerian Kesihatan #PAPUH #Razali Mohd Sham #agensi pelancongan #Marta
;