Tiga agenda baharu dalam pelan Perak Sejahtera 2030 - Saarani
Bernama
Jun 10, 2024 21:39 MYT
Jun 10, 2024 21:39 MYT
MANJUNG: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan penambahan tiga agenda baharu dalam pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Pembangunan Sosial, Kelestarian Alam dan Biodiversiti serta Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan.
Saarani berkata penambahan itu menjadikan pelan tersebut satu pelan yang dinamik dan boleh diubah suai, selain mampu ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut tuntutan masa serta keadaan.
"Penambahan itu memperkasakan program sedia ada dan akan kita wujudkan beberapa program baharu yang sesuai dengan perkembangan, sebab itu kita beri tiga agenda itu," katanya pada sidang media selepas membentangkan sendiri Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di sini hari ini.
Untuk rekod, baki enam agenda sebelum ini adalah Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Perlombongan Bertanggungjawab, Perak Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, Pembuatan Keputusan Berpacukan Data dan Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri.
Saarani berkata berdasarkan pemantauan dan penilaian yang dibuat pelbagai jabatan serta agensi pelaksana, pelan tersebut kini berada di landasan betul dalam memenuhi kesemua sembilan agenda yang ditetapkan bagi mencapai tiga sasaran iaitu Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik.
Saarani berkata negeri itu berada di landasan betul bagi menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030 berdasarkan buku Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 setebal 287 muka surat yang memperincikan 234 projek yang dilaksanakan melalui pembangunan strategik tersebut.
Beliau berkata buat pertama kalinya juga, kerajaan negeri melancarkan papan pemuka Perak Sejahtera 2030 untuk memantau dan menilai status pelaksanaan setiap projek dan inisiatif yang digariskan dalam pelan berkenaan.
"Dalam tempoh dua tahun ini (bermula 2022), kerajaan negeri berusaha mewujudkan kestabilan politik melalui dasar-dasar berorientasikan rakyat dan amalan tadbir urus yang baik bagi menarik keyakinan pelabur," katanya.
Saarani berkata hasil daripada usaha itu, kerajaan negeri mampu merencana dan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi termasuk Bandar Perindustrian Ma-ritim Lumut (LuMIC), Perak Halal Industrial Park (Perak HIP), Silver Valley Technology Park (SVTP), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
Menurutnya, pelaksanaan kesemua projek itu sedang giat dilakukan termasuk melalui sinergi yang baik dengan kerajaan Persekutuan serta pelbagai inisiatif dan program Sejahtera Sosial yang dilaksanakan telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.
"Memasuki tahun kedua pelaksanaan Perak Sejahtera 2030, kerajaan negeri kini lebih memfokuskan kepada pelaksanaan dan pemantauan kemajuan pelan tersebut melalui dua komponen iaitu Petunjuk Prestasi Utama Perak Sejahtera dan Indeks Kesejahteraan Perak," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri turut menggerakkan usaha memperkasakan lagi Perak Sejahtera 2030 dengan memberdayakan ekonomi dan meneroka sumber pendapatan baru khususnya dalam sektor ekonomi biru dan ekonomi penjagaan.
-- BERNAMA