Tiga ADUN BN sokong speaker PH, pemuda UMNO Kedah kecewa

Bernama
Julai 4, 2018 18:42 MYT
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memakaikan jubah kepada Datuk Ahmad Kassim selepas dilantik Speaker DUN Kedah yang baharu di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah hari ini. Foto BERNAMA
Pemuda UMNO Kedah kecewa dengan tindakan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyokong pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah daripada Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Ketua Pemudanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan tiga ADUN berkenaan adalah tidak wajar dan dianggap tidak menitikberatkan sentimen UMNO sekali gus boleh menghancurkan hati anggota dan pejuang parti tersebut.
"Tindakan ADUN BN yang bertindak menyokong kerajaan PH di dalam sidang DUN hari ini adalah tidak wajar dan tidak sensitif terhadap anggota UMNO itu sendiri.
"Pemuda UMNO amat memahami akan akibat apabila sidang DUN gagal melantik Speaker, namun tindakan ketiga-tiga ADUN ini yang bertindak menyokong dan bukannya berkecuali menimbulkan tanda tanya yang cukup besar," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama sidang DUN Kedah hari ini, Datuk Ahmad Kasim dilantik menjadi Speaker DUN apabila memperoleh 21 undi menewaskan Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang memperoleh 15 undi.
Tiga ADUN BN iaitu Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) dan Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) menyatakan bahawa mereka memberi undi kepada calon PH demi kepentingan rakyat di negeri ini dan mengelak daripada berlakunya pilihan raya negeri (PRN).
PH mempunyai 18 kerusi manakala PAS 15 dan BN tiga.
-- BERNAMA
#ADUN #Datuk Ahmad Kasim #Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin #Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi #Pakatan Harapan #PAS #Pesuruhjaya PAS negeri Kedah #Speaker Kedah
;