Tidak wujud kartel, monopoli dalam pembekalan baja - NAFAS
Bernama
September 23, 2024 15:21 MYT
September 23, 2024 15:21 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak wujud istilah kartel atau monopoli baja dalam pembekalan baja yang diuruskan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), tegas Pengerusi Jemaah Pengarahnya Datuk Zamri Yaakob.
Beliau berkata pembekalan baja adalah melalui rantaian Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan yang membuat pesanan pembekalan dan seterusnya baja yang dibekalkan oleh NAFAS akan dihantar kepada pesawah yang berdaftar sebagai ahli Peladang.
Beliau menegaskan NAFAS yang telah beroperasi selama 52 tahun tidak beroperasi atas kepentingan individu atau pihak tertentu sebalik memastikan keuntungan diagihkan semula kepada 280 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) untuk manfaat komuniti peladang.
"NAFAS memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan para pesawah dan peladang terpelihara, di samping menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya NAFAS menerusi Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) telah meningkatkan simpanan stok baja padi sebanyak 30,000 tan metrik dan menambah baik proses penghantaran baja mengikut jadual pembekalan yang ditetapkan.
"Selain itu, NAFAS sentiasa memastikan pesawah mendapat akses kepada pengetahuan terkini dalam bidang pertanian melalui program seperti pemindahan teknologi (TOT) yang dilaksanakan bagi membekalkan pesawah dengan ilmu pembajaan, kesihatan tanaman serta amalan pertanian yang lebih berkesan," kataya.
Inisiatif itu katanya adalah sebahagian daripada komitmen berterusan NAFAS dalam menyokong kemajuan sektor pertanian negara.
-- BERNAMA