Tidak wujud isu lambakan pelajar di sekolah harian - Maszlee
Fareez Azman
Januari 2, 2019 11:30 MYT
Januari 2, 2019 11:30 MYT
Tidak wujud isu lambakan pelajar di sekolah harian meskipun Kementerian Pendidikan menyasarkan 60 peratus pelajar dari golongan berpendapatan rendah (B40) diberi tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Jelas menterinya, Dr Maszlee Malik, polisi baharu itu adalah untuk memberi peluang kepada semua pelajar untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.
Menurutnya, pihaknya mendapati SBP yang sepatutnya menjadi platform bagi pelajar golongan kurang berkemampuan kini kebanyakannya diisi oleh pelajar dari golongan elit.
"Polisi kita kali ini untuk mengembalikan semangat sekolah berasrama penuh. Kalau dulu, sekolah berasrama penuh untuk mereka yang miskin luar bandar dan kurang kemampuan, tetapi kini ia menjadi seperti sekolah elit juga... akhirnya anak orang kurang berkemampuan tidak dapat peluang.
"Jadi dasar kita kali ini ialah untuk membantu ekonomi rakyat golongan berpendapatan rendah dengan memberi anak-anak mereka pendidikan yang baik di sekolah berasrama penuh," katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Presint 14 Putrajaya sempena hari pertama sesi persekolahan 2019 hari ini.
Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan inisiatif baharu dengan membuka 60 peratus peluang kepada pelajar dari golongan B40 untuk ditempatkan di SBP.
#Asrama Penuh
#golongan B40
#Kementerian Pendidikan
#kurang berkemampuan
#Maszlee Malik
#pendidikan
#sekolah
#Sesi Persekolahan 2019