Tidak wajar beri kelonggaran suami berpoligami mohon Rumah Mampu Milik - SIS

Astro Awani
November 23, 2021 18:07 MYT
Keputusan yang dibuat kerajaan Terengganu itu membimbangkan kerana hanya akan menggalakkan lebih ramai suami cenderung berpoligami sekalipun tidak berkemampuan dari segi kewangan, kata Sisters In Islam.
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan negeri Terengganu memberi kelonggaran kepada kaum lelaki yang berpoligami untuk memohon Rumah Mampu Milik (RMM) disifatkan Sisters In Islam (SIS) sebagai tidak wajar.
Bahkan, pertubuhan bukan kerajaan itu melihat keputusan yang dibuat kerajaan Terengganu itu membimbangkan kerana hanya akan menggalakkan lebih ramai suami cenderung berpoligami sekalipun tidak berkemampuan dari segi kewangan.
SIS berkata, kelonggaran memiliki RMM itu juga disifatkan tidak masuk akal kerana mengikut syarat yang ditetapkan di dalam laman web e-Perumahan Terengganu, pemohon hendaklah tidak pernah memiliki rumah dan hanya boleh membuat permohonan sekali.
"Menurut satu kes permohonan poligami yang didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada tahun 2019, untuk berpoligami, antara syarat yang mahkamah perlu pertimbangkan adalah sama ada pemohon poligami boleh berlaku adil di kalangan isteri-isteri, iaitu menyamaratakan di antara para isteri dalam aspek material (nafkah zahir) meliputi tempat tinggal, makan minum, pakaian dan sebagainya.
"Selain itu, kelonggaran ini juga tidak masuk akal kerana kebanyakan isu tentang perkahwinan poligami adalah berkaitan dengan kegagalan suami untuk berlaku adil dan saksama untuk menafkahi dan menjaga dua atau lebih keluarga," kata SIS dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Tambah SIS, dalam situasi semasa, kerajaan negeri sepatutnya memberi perhatian dan memperkasakan bantuan kepada golongan ibu dan bapa tunggal.
"Dalam era pandemik ini, kerajaan negeri wajib memberi perhatian kepada golongan rentan seperti golongan ibu tunggal.
"Di Johor, kumpulan ibu bapa tunggal sedang mengadvokasikan agar pihak kerajaan mengiktiraf ibu bapa tunggal yang belum berkahwin agar mereka mendapat bantuan kewangan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
"Ini kerana, ibu bapa tunggal mengalami kesusahan dalam memohon bantuan kewangan dari kerajaan di mana mereka diminta untuk menyediakan sijil cerai atau sijil kematian pasangan," kenyataan itu menyebut.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak memaklumkan, suami yang berpoligami boleh memohon RMM dengan syarat pendapatan tidak melebihi RM2,500 sebulan.
#poligami #rumah mampu milik #terengganu #sisters in islam
;