Tidak umum nama Speaker, tidak jejas persidangan - Kula Segaran

Bernama
Julai 14, 2018 12:24 MYT
Kula Segaran mengulas mengenai dakwaan kelewatan mengumumkan nama speaker adalah menyalahi Peraturan Majlis Mesyuarat Perkara 3 dan 4. - Gambar fail
Persidangan parlimen tidak akan terjejas berikutan pengumuman nama speaker belum dibuat walaupun mesyuarat pertama akan bermula Isnin depan.
Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata tindakan pihak yang sengaja mensasikan isu tersebut dilihat sebagai bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Persidangan (Parlimen) tidak akan terjejas. Terdapat peraturan tertentu yang harus diikuti.
"Bagi kami (Pakatan Harapan) buat kerja kami, walaupun baru dua bulan (jadi kerajaan) tapi kami yakin boleh menjawab semua soalan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia di Pasar Besar Ipoh di sini, hari ini.
Kula Segaran yang juga anggota Parlimen Ipoh Barat mengulas mengenai tular menyatakan kelewatan mengumumkan nama speaker adalah menyalahi Peraturan Majlis Mesyuarat Perkara 3 dan 4 iaitu nama calon perlu diberikan kepada Setiausaha Dewan Rakyat dalam tempoh sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat.
Mengulas program hari ini Kula Segaran berkata ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kerana diadakan di tempat tumpuan masyarakat termasuk pasar awam.
"Mungkin selepas ini kita akan adakan di pasar malam supaya lebih ramai boleh datang dan berkongsi masalah mereka," katanya.
Menyentuh mengenai portal JobsMalaysia 2.0 yang dilancarkan 12 Julai lalu, Kula Segaran berkata ia bertujuan sebagai pusat sehenti yang menyediakan maklumat pasaran kerja kepada orang ramai.
Katanya berdasarkan rekod, jumlah pencari kerja aktif dalam negara adalah seramai 241,057, manakala kekosongan aktif adalah sebanyak 114,138 jawatan.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #JobsMalaysia #Kaunter Khidmat Rakyat #Kementerian Sumber Manusia #kerajaan #lewat #M Kula Segaran #mesyuarat pertama #Najib Razak #nama #Pakatan Harapan #Parlimen #pasar #pasaran #pencari kerja #peraturan majlis #pusat sehenti #Speaker
;