'Tidak timbul waswas, Malaysia terbuka kerjasama mana-mana negara termasuk China'
Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 10, 2022 12:20 MYT
Ogos 10, 2022 12:20 MYT
KUALA LUMPUR : Berdepan perubahan dinamik geostrategik, Malaysia seperti negara-negara Asia Tenggara yang lain, mengambil pendekatan menjalinkan hubungan bilateral yang erat dengan China, di samping memperkukuh hubungan kerjasama dengan kuasa-kuasa lain.
Walaupun Malaysia dilihat menghargai hubungan kerjasamanya yang rapat dengan China, namun laporan antarabangsa mendakwa, Malaysia seperti negara-negara serantau yang lain, masih curiga dan merasa waswas terhadap Beijing.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE) Dr Zokhri Idris, naratif waswas hanyalah naratif media.
Sebaliknya, Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana negara sekalipun, termasuk China.
"Sebenarnya, faktor waswas mungkin adalah naratif di media.
"Tetapi, bagi sesuatu dasar luar negara dan pendirian sesebuah negara, Malaysia tidak mempunyai perasaan waswas kepada mana-mana negara. Sebaliknya, kita mengalu-alukan mana-mana kemunculan negara.
"Ia termasuk peluang untuk kita bekerjasama dengan mana-mana negara sekalipun, termasuk China, dan negara lain.
"Cumanya, saya ingin tekankan, Malaysia mengambil pendirian untuk mengalu-alukan, dan pada masa sama kita bersifat objektif, dalam melihat 'era power transitioning theory' ini.
"Kerana, kita melihat berlaku peralihan, antara Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa terbesar di dunia, dan China. Kita memerhati peralihan kuasa dengan lancar," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam AWANI Pagi yang membincangkan tajuk 'Peningkatan Pengaruh China di Asia Tenggara: Dilema Malaysia?' hari ini.
Justeru, jelas Zokhri, Malaysia memerlukan satu dasar yang bersifat objektif.
Ini kerana, dalam peralihan China sebagai kuasa dunia, republik itu memerlukan pengembangan ketenteraan, perluasan wilayah dan sebagainya, bagi mengetengahkan antara kepentingan strategik China di Asia Tenggara.
Mengulas berkenaan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi ke Taiwan baru-baru ini, Zokhri berpendapat, kebimbangan yang timbul adalah berasas.
Namun, apa yang perlu diperjelaskan adalah, tindakan agresif termasuk latihan ketenteraan China di Taiwan, sebagai reaksi terhadap lawatan tersebut.
Ikuti perbincangan penuh menerusi pautan di bawah.