KUALA LUMPUR:Tidak timbul soal Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mengalami defisit kepercayaan dalam Dewan Rakyat, sehingga memerlukan usul percaya dan tidak percaya didahulukan dalam Aturan Mesyuarat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata demikian pada sesi Dewan Rakyat hari ini, menjawab soalan dikemukakan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang). 


Takiyuddin berkata, pandangan itu berdasarkan dua senario, iaitu bagaimana Muhyiddin memperoleh sokongan 114 Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac, 2020.

Senario kedua ialah, kelulusan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 pada 26 Nov lalu yang menunjukkan Perdana Menteri masih mempunyai sokongan mencukupi.

“Oleh itu, tidak timbul langsung soal kononnya ada kekurangan atau kehilangan sokongan majoriti terhadap Yang Amat Berhormat (YAB) Pagoh.

"Namun, bukan menjadi satu halangan kepada mana-mana pihak untuk kemukakan apa jua bentuk yang menunjukkan sokongan kepada mana mana Ahli Dewan Rakyat, untuk menjadi seorang Perdana Menteri, mungkin Perdana Menteri kesembilan.

“Kita di pihak kerajaan sentiasa terbuka. Sekiranya ada mana-mana Ahli Parlimen boleh mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong, melebihi 112 sokongan, maka kita akur kepada proses demokrasi dalam negara ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Hassan meminta Perdana Menteri menyatakan bilakah 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan dibentangkan, dibahaskan dan diundi di Dewan.

Mengenai usul undi percaya dan tidak percaya itu, Takiyuddin berkata, walaupun usul itu telah dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 26 (1) dan 27 (3), ia masih tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15.

“Memandangkan tidak ada langsung bentuk yang menggambarkan YAB Pagoh hilang kepercayaan, kerajaan berpandangan, usul tidak percaya dan usul percaya merupakan usul yang melibatkan sesuatu yang tertentu dan kepentingan orang ramai.

"Tetapi, saya percaya, Dewan menganggap itu bukan satu perkara yang perlu disegerakan,” katanya lagi.